Nasional

Bayar RM10,000 dalam masa sebulan atau diculik

SEORANG pelajar warga asing di sebuah Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) berdepan detik cemas selepas dicederakan di dalam sebuah kereta serta diugut untuk membayar RM10,000.

Difahamkan, mangsa lelaki itu perlu membayar amaun tersebut dalam masa sebulan dan jika tidak, dia akan diculik.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.45 malam pada 6 Oktober lalu.

“Ketika kejadian, mangsa berada di kawasan letak kenderaan di kondominium kediamannya di Kota Damansara sebelum didatangi tiga lelaki termasuk seorang warga asing yang dikenaliknya.

“Seorang daripada suspek kemudian telah menarik mangsa ke dalam kereta dan memukulnya di bahagian muka dengan menggunakan objek menyerupai sepucuk pistol.

“Suspek juga meminta mangsa membayar wang tunai RM10,000 dalam masa sebulan dan jika tidak, dia akan diculik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bertindak di atas aduan, menurut Nik Ezanee, pihaknya telah membuat sebuah ke sebuah kondominium di kawasan Kota Damansara pada pukul 10.05 malam kelmarin.

Jelasnya, dalam serbuan tersebut, pihaknya menahan seorang lelaki warga asing dan merampas dua buah telefon bimbit dan kenderaan yang digunakan suspek semasa kejadian tersebut.

“Hasil soal siasat terhadap suspek telah membawa kepada penangkapan seorang lagi suspek iaitu lelaki warga tempatan di Puchong pada pukul 2.10 pagi semalam.

“Selain tangkapan, kita turut merampas sebuah telefon bimbit, sebotol semburan pemedih mata dan sebatang T-Baton.

“Suspek kedua juga mempunyai tiga rekod jenayah dan satu daripadanya melibatkan aktiviti curi kenderaan,” ujarnya.

Katanya, kedua-dua suspek telah ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 dan Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Nik Ezanee berkata, pihaknya kini masih dalam usaha untuk mengesan dan menahan seorang lagi lelaki warga tempatan yang masih bebas dan dikehendaki polis.

Jelasnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Adam Firdauz Ahmad (018-5744233) atau hadir ke mana-mana balai polis berdekatan. -SM

(Visited 358 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button