fbpx
Politik

Amanah mempelopori muafakat politik sehingga mewujudkan pakatan PH

PARTI Amanah Negara (Amanah) bertekad untuk memainkan peranan mengukuhkan lagi kesepakatan politik dalam Pakatan Harapan (PH), kata Presidennya Mohamad Sabu.

Beliau berkata parti itu juga akan mengekalkan persefahaman politik dalam PH selepas pakatan itu mendapat mandat daripada rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, tahun lepas.

“Awal dahulu Amanah mempelopori muafakat politik sehingga mewujudkan pakatan politik Pakatan Harapan dan akhirnya membentuk kerajaan.

“Kita menyedari kelompok yang tewas dalam pilihan raya lepas (PRU14) sentiasa berusaha untuk merobek kesatuan Pakatan Harapan dan kita tidak akan benarkan ia berlaku,” katanya ketika Pidato Presiden pada Konvensyen Amanah Nasional 2019 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden Datuk Seri Salahuddin Ayub, Naib Presiden Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, Pengarah Strategik Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata Amanah turut menyatakan tekad bersama kerajaan PH untuk berusaha melaksanakan janji yang terkandung dalam manifesto pakatan itu pada PRU14.

“Menyedari kehendak rakyat yang mengharapkan perubahan berlaku dalam negara setelah lebih 60 tahun diperintah oleh Barisan Nasional (BN), Amanah menyatakan tekad untuk bersama-sama dengan kerajaan PH berusaha semaksimum mungkin melaksanakan janji dalam pilihan raya.

“Ia suatu kemestian untuk dilaksanakan walaupun kita berhadapan pelbagai kekangan untuk membaik pulih kerosakan yang dilakukan oleh pentadbiran terdahulu,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata parti itu juga akan berusaha untuk mempengaruhi kerajaan bagi meminda perlembagaan untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja.

Beliau berkata perkara itu perlu bagi mengelakkan berlakunya kekuasaan berlebihan pada satu-satu pihak selain memberi peluang kepada bakat baru untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

“Tahniah kepada kerajaan negeri Melaka yang telah memulakan pindaan undang-undang tubuh negeri yang menghadkan Ketua Menteri hanya dua penggal sahaja,” tambahnya.

Seramai 925 perwakilan dari 154 kawasan menghadiri konvensyen kali keempat Amanah, dengan tema ’Kestabilan Memacu Kemakmuran Bersama’.

Konvensyen kali ini bakal menyaksikan buat julung kalinya ahli parti melaksanakan tugas memilih pimpinan baharu, yang akan menentukan hala tuju parti itu. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button