Politik

Tidak manis Presiden UMNO cabar menteri letak jawatan

TIDAK wajar dan tidak manis bagi Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk mencabar secara terbuka terhadap mana-mana menteri dari parti itu untuk meletakkan jawatan dalam Kabinet.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh yang juga Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, Ahmad Zahid sebagai presiden boleh menggunakan kuasanya untuk membawa usul peletakan jawatan itu ke Majlis Tertinggi UMNO untuk diputuskan.

Katanya, budaya mencabar tidak boleh diamalkan dalam UMNO kerana boleh menyebabkan ahli lain mengikut kaedah tersebut termasuk membuat cabaran untuk meminta presiden letak jawatan.

“Jujur saya kata tidak sewajarnya presiden mencabar sesiapa. Sebab presiden boleh bawa ke dalam Majlis Tertinggi boleh mengarahkan. Tak perlu cabar. Kalau kita galakkan budaya cabar mencabar dalam parti apa kata orang lain pula mencabar presiden?

“Saya fikir cabar mencabar itu sebenarnya tidak perlu sebab kalau seorang belajar mencabar ada pula orang lain turut mencabar. Maka kita akan menjadi bahan ketawa orang lain. Ini pun mungkin orang sudah bertepuk tangan sebab kalau cabaran bersambut akan berlaku pertempuran akan berlaku cabar mencabar,” kata Annuar dalam satu program bual bicara di Facebooknya malam tadi.

Ketika sesi pengulungan ucapan presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 semalam, Ahmad Zahid mencabar seorang menteri yang didakwa menikam parti itu dari belakang untuk meletakkan jawatan.

Beliau berkata, beberapa menteri telah meluahkan perasaan berhubung cabaran tersebut.

“Jangan kita jatuhkan air muka orang, macam saya lihat Ketua Wanita dan beberapa kawan yang jadi menteri mesej kepada saya, rasa tersinggung, rasa terhina dan salah seorang yang agak kanan berada di atas pentas teks kepada saya dia rasa macam nak.. macam-macamlah.

“Cuma saya seorang sahaja rasa gembira. Saya payah marah pada orang. Lagi pun siapalah kita orang kecil, dibuang. Kata apa pun tak apalah,” kata Annuar.

Annuar berkata, dia sendiri tampil mempertahankan Ahmad Zahid selepas beliau dicabar untuk melepaskan jawatan Presiden UMNO.

“Bila presiden dicabar supaya dia meletakkan jawatan kerana dia telah diseret ke mahkamah saya tampil dalam masa seminggu selepas saya dipecat. Saya buat pendirian saya tidak bersetuju menekan presiden untuk letak jawatan.

“Sebab kita kena menanam budaya menghormati Institusi Presiden bukan batang tubuh presiden. Institusi presiden kata perlembagaan dia mesti dipilih oleh ahli dan berkhidmat untuk tempoh tiga tahun Institusi Presiden.

“Yang bermasalah itu mungkin tubuh badan presiden. Kalau kita suruh presiden berhenti dalam tempoh tidak habis apa lagi tahun ini tahun terakhir kita tidak menghormati Institusi Presiden,” katanya.

Semalam Ahmad Zahid mencabar menteri untuk meletakkan jawatan jika bertindak mengkhianati keputusan yang telah dibuat oleh perwakilan untuk menarik diri daripada menjadi Kerajaan Perikatan Nasional.

“Jika ada dalam kalangan mereka yang telah seronok berada dalam bilik yang terlalu berhawa dingin dan berkerusi empuk lihat dan harus tahu bahawa mereka yang berada di sana termasuk seseorang yang menjadi menteri tetapi tidak berada di pentas ini, tetapi menikam UMNO daripada belakang.

“Kalau dia anak jantan dia harus meletakkan jawatan sebagai menteri. Ini makhluk perosak. Kalau bukan kerana UMNO tidak akan ada dia dalam kementerian berkenaan.

“Bila jawatan yang telah menjadikan kegelian maksimum mereka harus sedar tanpa kita perwakilan dan akar umbi kita juga tidak akan pernah merasa kedudukan sebagai menteri semula,” sindir Ahmad Zahid.-SM

 

(Visited 451 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button