fbpx
Nasional

Mengaku polis dari cawangan khas konon, rupanya mabuk

SUDAHLAH mabuk, lepas itu ada hati hendak mengaku sebagai seorang pegawai polis dari Unit Cawangan Khas Bukit Aman.

Lelaki berusia 29 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan di sebuah kondominium di Damansara, kira-kira pukul 2 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, pihaknya menerima panggilan selepas lelaki tersebut didapati mengamuk dan mengaku sebagai pegawai polis.

“Pemeriksaan terhadap suspek mendapati dia sedang berada di bawah pengaruh alkohol.

“Suspek juga telah bertindak agresif dengan menendang, menumbuk serta menarik jaket yang dipakai anggota polis sehingga koyak.


“Suspek juga mengeluarkan kata-kata kesat serta mengugut dengan menyatakan dia boleh membuat anggota polis tersebut ditukarkan serta merta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nik Ezanee, pemeriksaan terhadap suspek juga telah menemukan satu paket lutsinar yang mengandungi dadah jenis ganja dan disembunyikan di dalam kasutnya.

Jelasnya, ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis ganja.

“Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai satu rekod kes dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya,” ujarnya.

Tambahnya, suspek kini direman selama empat hari dan disiasat di bawah Seksyen 506, 353, 170 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 2001 serta Seksyen 6 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. -SM

Show More

Related Articles

Back to top button