Nasional

Operasi judi dalam talian untuk pasaran Korea pula diserbu

Polis menahan lima lelaki kerana terlibat dengan aktiviti judi dalam talian yang beroperasi untuk pasaran di Korea.

Difahamkan, kesemua suspek itu ditahan dalam satu serbuah di sebuah kondominium di Seputeh, Kuala Lumpur petang semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun.

“Dalam serbuan jam 5.15 petang itu polis turut merampas empat unit telefon bimbit, enam monitor komputer, tiga pemprosesan komputer (CPU), tiga papan kekunci, tiga tetikus serta satu akses dan dua modem.

“Siasatan awal mendapati, rumah itu dijadikan sebagai tempat menjalankan aktiviti judi dalam talian bagi pasaran Korea,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, sindiket itu menggunakan aplikasi Telegram dan beroperasi selama 24 jam sehari.

Jelasnya, kesemua suspek telah ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran. -SM

(Visited 147 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button