Nasional

J-Kom perlu dilihat secara menyeluruh

JABATAN Komunikasi Komuniti (J-KOM) perlu dilihat secara sarwa atau menyeluruh dengan pandangan yang baharu, realistik, rasional dan matang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Sehubungan itu, beliau berkata semua pihak perlu membangunkan pemikiran baharu berkaitan komunikasi dua hala di antara kerajaan dan rakyat, khususnya di peringkat akar umbi, bersesuaian dengan kepentingan, cabaran dan keperluan baharu.

“Saya berharap kita boleh ‘reset’ pemikiran kita tentang J-KOM ini. Saya tidak berhasrat mengatakan kita boleh selesaikan semua perbezaan pendapat tentang jabatan ini, (tetapi) hakikatnya ini ialah J-KOM, bukan Jasa (Jabatan Hal Ehwal Khas),” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Negara hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin sekali lagi menjelaskan tugas utama J-KOM ketika ini ialah melaksanakan Komunikasi Strategi Pembudayaan Normal Baharu (Pandemik COVID-19).

Sehubungan itu, beliau berkata fungsi J-KOM tidak bersifat bertindan dengan agensi di kementerian lain dari segi kumpulan sasaran, pendekatan program dan aktiviti.

“J-KOM juga akan mengambil kira ruang penjimatan dalam Belanjawan 2021 yang diperuntukkan. Ini kerana struktur J-KOM akan ditempatkan di daerah di seluruh negara berbanding struktur Jasa yang dahulunya berada di seluruh kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri,” katanya. – BERNAMA

(Visited 148 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button