Nasionalpilihan

Mayat kanak-kanak dua tahun ditemui pada jarak 1.3 kilometer

Mayat seorang kanak-kanak berusia dua tahun dipercayai terjatuh ke dalam longkang di Taman Goodwood, Bukit Baru dekat sini pada petang semalam berjaya ditemui terapung di longkang besar Taman Desa Baru pagi tadi.

Mayat Muhammad Danish Mohd. Faizal anak bongsu daripada empat beradik itu ditemui terapung kira-kira 1.3 kilometer dari tempat kejadian oleh sepasang suami isteri
penduduk di Taman Desa baru yang ketika itu turut mencari mangsa kira-kira pukul 9.30 pagi.

Pegawai Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Zulkhairani Ramli berkata, sewaktu pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh
menyambung operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pagi ini, pihaknya mendapat maklumat daripada orang kampung mengenai penemuan satu objek terapung
di sebuah longkang besar di Taman Desar Baru di sini.

Menurutnya, susulan dari maklumat itu sebuah Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Melaka telah dihantar ke lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan mendapati objek yang terapung itu adalah mayat kanak-kanak yang dilaporkan hilang petang semalam.

“Mangsa ditemui dalam longkang selebar 10 kaki pada kedalaman hampir dua meter selepas pencarian dilakukan hampir 18 jam sejak petang semalam.

“Kita angkat mayat itu ke kawasan lebih sesuai untuk identifikasi sebelum menghubungi pihak polis dan Hospital Melaka. Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat,” ujarnya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.25 petang sewaktu hujan lebat itu, mangsa, Muhammad Danish disedari hilang oleh ibunya, Nor Amiza Che Kar, 28, ketika sedang berniaga berdekatan kawasan terbabit.

Menurut ibunya, sebelum itu mangsa dilihat bermain di kawasan berhampiran bersama abangnya berusia empat tahun.

Ketika kejadian, hanya selipar mangsa sahaja kelihatan di kawasan berumput berdekatan dan selepas mencari selama 20 minit bersama orang ramai sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

Mengulas lanjut Zulkhairani berkata, ketika ditemui mayat itu berada dalam keadaan cukup sempurna cuma berlaku kecederaan di bahagian kepala mangsa.

Katanya, pihaknya menyedari mayat mangsa akan dibawa ke kawasan longkang lebih besar selepas pencarian petang semalam sejauh 150 meter di kawasan berdekatan
tidak menemui mangsa.

“Berdasarkan peta diberikan oleh pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) laluan longkang di tempat kejadian akan menyusuri longkang besar di Taman Desa
Baru seterusnya ke Sungai Melaka,” ujarnya. – SM

(Visited 105 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button