Nasional

Kerajaan digesa beri subsidi untuk kit RTK

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa memberi subsidi kepada Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 (RTK-Ag) agar harganya kekal mampu milik rakyat.

Cha Kee Chin (PH-Rasah) memberitahu Dewan Rakyat bahawa beliau memerhatikan bahawa harga RTK-Ag telah meningkat selepas sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.

“Dulu pada Januari, harganya antara RM3 dan RM4. Tetapi selepas perayaan itu, apabila kes meningkat dan jumlahnya kekal tinggi, harga kit ujian diri RTK-Ag meningkat.

“Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin) juga menggesa orang ramai menggunakan RTK-Ag kerana ia mudah digunakan dan lebih murah, berbanding ujian Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

“Saya meminta kerajaan memberikan subsidi ini ketika negara beralih ke fasa endemik,” kata Cha ketika membahaskan Rang Undang-undang Tambahan hari ini.


Khairy meminta rakyat Malaysia mengurangkan pergantungan kepada RT-PCR dan beralih ke RTK-Ag untuk menyaring Covid-19.

Ujian RT-PCR, katanya, adalah mahal manakala kit ujian diri RTK-Ag lebih murah dan lebih mudah didapati.

Beliau menambah, menurut pakar, ujian RTK-Ag adalah mencukupi untuk mengesan kes positif dengan kadar kejangkitan yang lebih tinggi.

 

(Visited 57 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button