Nasional

Cerita Azilah tak masuk akal – Peguam

KUALA LUMPUR – Cerita dalam akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani Cif Inspektor Azilah Hadri berhubung dakwaan pembabitan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu disifatkan sebagai tidak masuk akal.

Seorang Peguam, Shamsher Singh Thind berkata, arahan melupuskan musuh tidak boleh dikeluarkan oleh seorang Timbalan Perdana Menteri .

Menurut Shamsher, di bawah Seksyen 20(1) Akta Polis 1967 memperuntukan bahawa ‘tiap-tiap pegawai polis hendaklah mematuhi semua arahan yang sah berkenaan dengan pelaksanaan jawatannya yang mungkin diterimanya dari semasa ke semasa daripada pegawai atasannya dalam pasukan.

“Oleh itu, seorang pegawai polis hanya menerima arahan daripada pegawai atasannya, dan pegawai atasan polis tertinggi adalah IGP (Ketua Polis Negara). Harus diingati, Najib ketika itu hanyalah TPM (Timbalan Perdana Menteri), bukan PM (Perdana Menteri) atau Menteri KDN (Kementerian Dalam Negeri).

“Cerita Cif Inspektor tak masuk akal! Arahan melupuskan musuh takkan boleh diberi oleh TPM? Azilah tak check dengan pegawai atasan diakah? Tanya Shamsher.

Dalam akuan bersumpahnya bertarikh 17 Oktober lalu itu, Azilah mendakwa Najib ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri mengarahkannya supaya membunuh Altantuya dan menghapuskan mayatnya.

Azilah mendakwa arahan itu diberikan secara lisan ketika bertemu dengan Najib dalam satu pertemuan pada 17 Oktober 2006 di Pekan, Pahang.

Pada Januari 2015, Mahkamah Persekutuan menolak keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Azilah dan bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar yang sebelum ini didapati bersalah dalam kes pembunuhan Altantuya.

Panel hakim Mahkamah Persekutuan mendapati Azilah dan Sirul bersalah dan menjatuhkan hukum gantung atas kesalahan itu.

Sementara itu, Shamsher berkata, sekiranya Najib dituduh membunuh Altantuya, bekas Perdana Menteri itu boleh ditangkap dan direman sehingga perbicaraan di mahkamah selesai.

Shamsher mendakwa, tuduhan terbaharu terhadap Najib juga boleh digunakan sebagai bahan modal kempen Pilihan Raya Kecil Kimanis yang akan berlangsung tidak lama lagi.

“Kes-kes IMDB dan SRC dah menjadi bahan jenaka dalam kalangan rakyat jelata. Bossku menerima layanan diraja di Tanjung Piai walaupun beberapa hari sebelum PRK itu beliau telah diarahkan oleh mahkamah untuk membela diri.

“Najib harus didakwa untuk kesalahan yang lebih menarik seperti pembunuhan Altantuya untuk dijadikan modal semasa PRK Kimanis tahun depan,” kata Shamsher.-SM

 

 

(Visited 962 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button