Politik

Mas Ermieyati lebih rapat dengan penduduk berbanding Ab Rauf

PERTARUNGAN antara calon Barisan Nasional, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan calon Perikatan Nasional, Datuk Mas Ermieyati Samsudin di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara diibaratkan pertarungan antara ‘raja’ dan ‘permaisuri’.

Kedua-dua calon tersebut yang berasal dari akar umbi UMNO sangat dikenali oleh masyarakat di kawasan tersebut namun hanya seorang yang dianggap lebih dekat dengan rakyat.

Walaupun Ab Rauf merupakan penduduk di kawasan itu namun ramai yang berangapan dia merupakan muka baharu berbanding Mas Ermieyati telah berkhidmat kepada masyarakat sejak Pilihan Raya Umum ke-13 ketika menjawat jawatan Ketua Puteri UMNO.

Menurut masyarakat tempatan, Mas Ermieyati telah banyak membantu ketika penduduk kawasan itu menghadapi masalahan berikutan pandemik Covid-19.

Hanim Ahmad

Salah seorang penduduk Hanim Ahmad, 51, berkata, Mas Ermieyati lebih layak menjadi wakil rakyat di Tanjung Bidara berbanding Ab Rauf.


“Mas Ermieyati lebih layak kerana dia lebih dahulu berkhidmat kepada penduduk berbanding Rauf. Datuk Rauf baru di sini, saya pun tidak berapa kenal dia.

“Semasa Mas Ermieyati bersama BN, Mas Ermieyati banyak menolong rakyat,” katanya.

Hanim juga berharap, calon yang menang dapat majukan kampung tersebut dengan membaiki jalan-jalan rosak dan menolong ibu-ibu tunggal.

Ramli Bakar

Seorang penduduk Ramli Bakar, 59, DUN Tanjung Bidara sememangnya merupakan kerusi panas antara Mas Ermieyati dengan Ab Rauf.

“Masyarakat mengenali kedua-duanya tetapi Ab Rauf tidak mudah untuk menang kerana kewibawaan Mas Ermieyati lebih terserlah dan kerjanya memang bagus.

“Kalau ikut sejarah, Datuk Rauf dulu Timbalan Pengerusi UMNO Bahagian Bukit Bintang dan penglibatan dia dengan Melaka terlalu pendek,” katanya.

Tambahnya, penduduk Tanjung Bidara akan rugi besar jika tidak memilih Mas Ermieyati yang mempunyai kepakaran dan kebolehan.

Zamri Mohamad

Sementara seorang lagi pengundi, Zamri Mohamad, 53 berkata dia akan memilih calon berdasarkan individu berbanding parti politik.

Tambah beliau, dalam konteks itu Mas Ermieyati lebih rapat dengan penduduk berbanding Ab. Rauf.

“Mas Ermieyati pernah menjadi Ahli Parlimen maksudnya pernah memimpin masyarakat manakala Ab Rauf baru kembali ke Melaka untuk bertanding walaupun sudah lama dalam politik.

“Masyarakat kurang mengenali personaliti Ab Rauf berbanding Mas Ermiayati lebih dikenali dalam kalangan penduduk,” katanya.

Beliau turut berharap calon yang menang membangunkan Tanjung Bidara bukan hanya tabur janji dan hanya datang untuk bertanding kemudian hilang.

Justeru mereka kelebihan berada pada Mas Ermieyati untuk dipilih oleh 10,133 pengundi pada pilihan raya negeri 20 November ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 kerusi berkenaan dimenangi oleh calon UMNO Datuk Md Rawi Mahmud dengan majoriti 2,864 undi. -SM

 

 

(Visited 101 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button