Nasional

Buka semula IPT sukarkan siswa, pentadbir

LANGKAH untuk membuka semula institut pengajian tinggi (IPT) dalam tempoh singkat pasti akan menyukarkan mahassiswa dan pihak universiti.

Malah, keputusan itu bercanggah dengan kenyataan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 27 Mei 2020 bahawa pengajian di universiti awam akan diadakan melalui atas talian sehingga 31 Disember 2020.

“Saya juga telah menerima banyak aduan dan keluhan dari keluarga pelajar bahawa keputusan ini akan menyukarkan mereka,” kata bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam  kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) bukan sahaja baru mengosongkan asrama mereka, tetapi ada juga pelajar yang perlu menamatkan kontrak rumah sewa.

Katanya, ada juga siswa yang perlu membeli tiket penerbangan yang mahal untuk perjalanan pulang ke kampus seperti dari Sabah atau Sarawak.

“Bukan sahaja para pelajar telah mengosongkan asrama, tetapi ramai juga yang telah menamatkan kontrak rumah sewa, dan ada yang menanggung tiket pergi pulang yang mahal dan membebankan (terutamanya dari Sabah dan Sarawak).

“Beban kewangan pasti lebih sukar dalam tempoh waktu sebegini.

“Pengumuman untuk pulang semula ke universiti juga dibuat kurang lebih sebulan sahaja dengan keputusan untuk para pelajar kosongkan asrama. Kini pelajar perlu mencari rumah sewa baru pula (dalam tempoh terdekat),” katanya.

Kata, Syed Saddiq, beliau bersetuju universiti patut dibuka semula, namun keputusan terburu-buru itu akan membebankan pihak yang terlibat.

“Saya percaya setiap satu keputusan harus dibuat dengan pertimbangan wajar terhadap pihak pelajar, pensyarah dan pentadbiran universiti,” katanya.

Oleh itu, beliau berharap pihak kementerian dapat menjelaskan perkara ini bagi meredakan persoalan dan kebimbangan mereka yang terlibat.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata bahawa akan meneliti pembentangan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkenaan pembukaan Institut Pengajian Tinggi (IPT) serta SOP bagi kemasukan pelajar tempatan dan antarabangsa.

“Mesyuarat bersetuju dengan pembentangan KPT dan pihak KPT akan mengumumkan SOP terperinci serta tarikh pembukaan IPT,” katanya.

(Visited 112 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button