fbpx
Politik

Ujian lalu matangkan pemimpin PAS Kedah

Oleh MAT MAHANG

TIADA siapa boleh menafikan, Kedah hingga hari ini masih mempunyai reputasi sebagai negeri kubu PAS, sama seperti Kelantan dan Terengganu.

Meskipun tidak menguasai kerajaan negeri, kedudukan sebagai parti yang paling banyak memiliki kerusi – 15 – dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) membuktikan hakikat itu.

Dalam politik, Kedah antara negeri yang paling banyak menghantar pemimpin-pemimpin utama parti di peringkat nasional, termasuk PAS.

Pada penghujung 1980an hingga awal 1990an, jawatan presiden tiga parti politik tanah air dipegang serentak oleh pemimpin dari Kedah.

UMNO ketika itu diterajui Datuk Seri (kini Tun) Dr. Mahathir Mohamad. Hizbul Muslimin atau HAMIM dipimpin Datuk Sudin Wahab yang pernah juga memegang jawatan Ketua Penerangan PAS Pusat sebelum menyertai Tan Sri Asri Muda menubuhkan HAMIM.

PAS pula pada masa itu dipimpin Datuk Fadzil Noor yang hingga kini masih diingati sebagai antara pemimpin ulung parti itu. Gandingan Ustaz Fadzil dalam memimpin PAS ialah Setiausaha Agung, Abdul Halim Arshat, juga dari Kedah.

Apabila Ustaz Halim terpaksa undur diri disebabkan masalah kesihatan, Jawatankuasa PAS Pusat mahu beliau digantikan dengan Tan Sri  Azizan Abdul Razak yang ketika itu Setiausaha Perhubungan PAS Kedah.

Bagaimanapun, permintaan itu ditolak oleh Ustaz Fadzil sendiri.

“Dia (Azizan) ada banyak kerja nak buat di Kedah.” Itulah alasan penolakan Ustaz Fadzil kepada cadangan  Jawatankuasa PAS Pusat.

Hal ini diberitahu kepada penulis oleh Ustaz Azizan sendiri.

Rupa-rupanya ‘banyak kerja’ yang dimaksudkan oleh Ustaz Fadzil barang kali berkait dengan sasaran  beliau mahu PAS menawan Kedah dalam pilihan raya. Walaupun akhirnya berjaya, namun kejayaan itu tidak sempat disaksikan oleh Ustaz Fadzil sendiri. Ia direalisasikan pada era Ustaz Azizan, anak didik beliau. Al fatihah untuk kedua-duanya.

Semasa era kepimpinan Ustaz Azizan sebagai  menteri besar dan Pesuruhjaya PAS negeri, ada beberapa pemimpin dalam PAS Kedah ketika itu yang mula membina nama untuk berada dalam papan atas atas senarai pimpinan. Antaranya Datuk Phahlrolrazi Zawawi dan Datuk Amiruddin Hamzah.

Lama sebelum itu, Datuk Mahfuz Omar telah mencipta laluannya yang tersendiri sebagai pimpinan Pusat sejak era Dewan Pemuda.

Mereka itulah yang diharapkan untuk terus mengusung kegemilangan meneruskan legasi kepimpinan dari Kedah dalam hierarki Pusat.

Namun malangnya, mereka kemudian berpaling tadah. PAS, parti yang membina diri mereka sebagai pemimpin politik ditinggalkan.

Langkah ketiga-tiga pemimpin itu menyebabkan PAS Kedah suatu ketika dalam keadaan terpinga-pinga.

Ini kerana barisan yang tinggal untuk mengambil alih kepimpinan ketika itu relatifnya adalah mereka yang junior serta tidak punya pengalaman untuk mengambil alih tanggungjawab yang begitu berat.

Ahmad Yahaya

“Dalam parti, kami boleh dianggap adik-adik belaka berbanding dengan mereka. Mereka sudah ada banyak pengalaman dalam politik dan pentadbiran sedangkan kami masih baru,” kata Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad

Mohd Azam Abdul Samat

Yahaya mengimbau situasi pada masa itu.

Selain Ahmad, mereka yang seangkatan dengannya termasuk Muhammad Sanusi Md. Nor, Musoddak Ahmad, Mohd Azam Abdul Samat dan ADUN Bukit Lada, Salim Mahmud.

Muhammad Sanusi yang kini ADUN Jeneri juga adalah Ketua Pembangkang DUN Kedah.

Muhammad Sanusi Md. Nor

Beliau yang turut memegang jawatan Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Pusat – antara jawatan kanan dalam hierarki kepimpinan PAS —  disebut-sebut sebagai pemimpin pelapis Kedah yang paling layak diketengahkan di peringkat nasional. Keupayaannya terserlah sewaktu memimpin pelbagai misi kemanusiaan di peringkat antarabangsa selaku Pengarah PASRelief.

Secara purata, usia mereka yang berada dalam kumpulan ini adalah sekitar 45 tahun.

Seorang lagi pemimpin PAS dari Kedah yang kian mendapat perhatian ialah Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia dalam Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Awang Hashim

Keaktifan dan kelantangan beliau dalam perbahasan di Parllimen membuktikan Kedah tidak ketandusan tokoh berwibawa untuk diangkat ke tahap yang lebih tinggi dalam politik tanah air.

Awang kini adalah satu-satunya pemimpin dari Kedah dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional. Selain beliau, Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tirmizi Sulaiman antara pemimpin pelapis yang berpotensi untuk PAS Kedah.

Ahmad Tarmizi Sulaiman

Kerusi Parlimen Pendang sebelum ini pernah disandang oleh Allahyarham Ustaz Fadzil. Kerusi yang dikuasai bersilih ganti dengan UMNO/BN itu kemudian diwakili oleh Datuk Dr. Mohd Hayati Othman – antara tokoh lama dalam PAS Kedah – yang bertanding dalam pilihan raya kecil selepas pemergian Ustaz Fadzil pada 2002.

Dr. Hayati kini ADUN Tokai, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah dan Yang Dipertua PAS Pendang.

Selepas Mahfuz, jawatan Pesuruhjaya PAS negeri diamanahkan kepada Amiruddin. Beliau bagaimanapun menolak amanah itu sebelum membuat keputusan ‘meminggirkan diri’  daripada PAS.

Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi

Muncul muka baharu diberi amanah untuk mengemudi PAS Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

Dr. Fakhruddin mengamalkan pendekatan senyap tetapi berkesan. Beliau kurang menggemari publisiti, apa lagi kontroversi namun impak kepimpinannya, PAS berjayya menang banyak kerusi dalam pilihan raya lalu,

Dr. Fakhruddin sendiri bagaimanapun kurang bernasib baik apabila tewas di DUN Pengkalan Kundur, Kuala Kedah yang juga kubu kuat Parti Amanah.

PAS Kedah kini berada dalam tangan mereka yang terdidik daripada sekolah politik dan pentadbiran Ustaz Azizan.

Ustaz Ahmad daripada kumpulan ulama – menepati kriteria kepimpinan yang dimahukan oleh penyokong Pas di Kedah — manakala Sanusi yang pernah menjadi Setiausaha Politik Ustaz Azizan, terasuh cekap dalam pentadbiran.

Dalam kalangan ADUN pula, rata-ratanya komited dalam memberi khidmat kepada rakyat. Ini kerana mereka yang dipilih bertanding pada pilihan raya lalu sudah lama bergelumang dengan akar umbi.

Abdul Nasir Idris yang lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Nasir, seorang bekas pendidik yang sudah lebih 30 tahun berpengalaman dalam  aktiviti kebajikan di daerah Baling, mencipta sejarah tersendiri membawa parti itu menang buat pertama kali di DUN Bayu.

ADUN Bayu, Cikgu Nasir (belakang) sentiasa komited dalam memberi perkhidmatan untuk rakyat diwakilinya.

Kini, beliau juga dikenali dengan julukan Sensasi Bayu dalam kalangan wartawan tempatan dengan kerja kerasnya mengambil berat hal kebajikan penduduk DUN berkenaan . Demikian juga Azhar Ibrahim atau Cikgu At di DUN Air Hitam dan Datuk Siti Ashah Ghazali di DUN Merbau Pulas, Padang Serai.

Di Sungai Limau, PAS ternyata tidak salah pilih dalam mencalonkan Ustaz Mohd Azam Abdul Samat untuk mengambil alih kerusi DUN berkenaan selepas pemergian Allahyarham Ustaz Azizan pada September 2013.

Ustaz Azam, seorang ADUN daripada barisan pelapis yang berprestasi tinggi dalam mengukuhkan kedudukan PAS di kawasan itu.

“Satu perkara yang baik untuk PAS Kedah, pimpinan yang dikata muda ini sudahpun diuji. Kami diberi tanggungjawab yang begitu berat dalam usia kami yang masih muda dan tidak ada pengalaman langsung masa itu. Kini kami sudah bersedia,” kata Ahmad.

Show More

Related Articles

Back to top button