Politik

Majlis angkat sumpah menteri pukul 2.30 petang ini

MAJLIS mengangkat sumpah jawatan jemaah Menteri Kabinet di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan berlangsung di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Rahsia itu membabitkan 31 menteri dan 38 timbalan menteri dijadualkan bermula pada jam 2.30 petang.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijangka turut berangkat ke istiadat tersebut.

Selain itu, ia akan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Jumaat lalu, Ismail Sabri mengumumkan Kabinet baharu pentadbirannya dan menyifatkan barisan ‘Kabinet Berorientasikan Hasil’ itu adalah pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat.

Antara muka baharu terpilih ialah Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan serta Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Kabinet kali ini juga menyaksikan tiga bekas menteri pada era Barisan Nasional (BN) kembali membarisi kabinet iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim yang menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan; Tan Sri Noh Omar sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Datuk Seri Mahdzir Khalid dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar.

(Visited 95 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button