Politik

Rakyat tunggu, lihat dan berdoa perkembangan politik tanah air

JANGAN sampai bergolak tetapi demi kebaikan rakyat Malaysia, apa sahaja dan siapa sahaja yang menjadi barisan pemimpin yang membentuk kerajaan biarlah lebih berkredibiliti di mata rakyat sendiri dan di mata negara-negara jiran dan luar yang memerhati.

Sejak semalam, situasi tidak menentu melanda negara. Janganlah sampai ke tahap mencetuskan rasa panik dalam kalanangan rakyat marhaen yang tidak dapat mengelakkan rasa bimbang dan khuatir sekiranya peralihan kuasa yang berlaku, boleh mencetuskan suasana tidak harmoni.

Memetik laporan BERNAMA, rakyat sedang menunggu dan melihat perkembangan politik tanah air hari ini bagi mencari jawapan terhadap desas-desus berhubung pengaturan semula landskap politik negara.

Setakat pukul 10 pagi tadi, belum ada pengumuman atau sidang akhbar dibuat bagi menjelaskan duduk letak perkara berkenaan.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada pukul 2.00 petang nanti.

DAP pula dilaporkan mengadakan satu mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat di ibu pejabatnya  pada pukul 11 pagi tadi.

Semalam, perkembangan politik tanahair menyaksikan beberapa pemimpin dari parti Bersatu, PKR, UMNO, PAS, Gabungan Parti Sarawak dan Warisan masing-masing mengadakan mesyuarat secara berasingan di ibu negara dan Petaling Jaya, Selangor, telah menimbulkan spekulasi yang dipercayai ada kaitan dengan pengaturan semula landskap politik negara.

Ini ditambah dengan kelibat kenderaan membawa puluhan pemimpin itu kelihatan memasuki kawasan Istana Negara pada sebelah petang semalam.

Desas-desus bertambah kuat malam tadi apabila ada pemimpin dari Bersatu, PKR, UMNO, MCA, MIC dan PAS menghadiri satu majlis makan malam di sebuah hotel di ibu negara.

Sementara itu, hari ini, kenderaan membawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan  Azizah Wan Ismail kelihatan memasuki perkarangan Bangunan Perdana Putra di Putrajaya pada pukul 8.50 pagi yang menempatkan pejabat Perdana Menteri dan  pejabat Timbalan Perdana Menteri.

Kenderaan membawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula kelihatan memasuki perkarangan Bangunan Perdana Putra pada pukul 9.26 pagi. – SM

 

(Visited 132 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button