Nasionalpilihan

Lima penjawat awam ditahan terlibat kes samun

Lima penjawat awam daripada sebuah agensi penguatkuasaan ditahan selepas dipercayai terlibat dengan kes samun yang dilaporkan di sekitar Cheras pada Ahad lalu.

Kesemua mereka bersama dua lagi suspek lain ditahan kira-kira pukul 11 malam kelmarin menerusi beberapa siri tangkapan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki di Jalan Pekan Salak Selatan yang disyaki terlibat dalam kes ini.

“Suspek kedua merupakan seorang lelaki yang telah ditahan semalam pada pukul 1.20 pagi di Pandan Indah dan merampas sebuah motosikal Yamaha Lagenda serta sebuah telefon bimbit.

“Kedua-dua suspek merupakan warga tempatan berusia 25 hingga 30 tahun. Hasil semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai dua rekod lampau membabitkan kes samun. Ujian saringan air kencing pula mendapati suspek negatif dadah.


“Suspek telah ditahan di lokap Balai Polis Bukit Jalil dan dibenarkan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama 7 hari sehingga 11 Oktober ini untuk melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, susulan tangkapan awal, polis telah menahan tiga lelaki dan dua wanita warga tempatan di empat lokasi berasingan di Salak Selatan, Pudu, Ampang dan Kajang.

“Lima suspek ini adalah dari agensi Penguatkuasaan Kerajaan berusia 19 hingga 24 tahun. Dua suspek yang ditahan memiliki rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Kesemua mereka juga negatif dadah.

“Kelima-lima suspek telah ditahan di lokap Balai Polis Bukit Jalil dan Balai Polis Salak Selatan Baru. Mahkamah juga telah membenarkan reman di bawah Seksyen 117 KTJ selama enam hari sehingga 11 Oktober ini,” jelasnya.

Polis menyeru orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah melalui hotline Polis Cheras di talian 03-92840083 atau Polis Kuala Lumpur di 03-21159999. -SM

(Visited 132 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button