Mahkamahpilihan

Lelaki warga Bangladesh dipenjara tujuh bulan

Seorang lelaki warga Bangladesh yang memasuki negara ini secara haram serta membuat laporan polis kononnya dia disamun dihukum penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh Melaka di sini hari ini.

Tertuduh Mohamad Sufian, 52, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh telah masuk dan berada di negara ini tanpa sebarang pas yang sah di Jalan Kota dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 3.00 petang pada 20 Mei lalu.

Tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang dari RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh disebat sehingga enam kali mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002)
dan dihukum di bawah Seksyen 6 (3) akta sama.

Manakala bagi pertuduhan kedua, Mohamad didapati membuat laporan palsu kepada Koperal Aidawaty Hussin menyebabkan Inspektor Muhammad Haziq Fathe’li sebagai penjawat awam telah menggunakan kuasa yang sah di sisiundang-undang hingga mengakibatkan kegusaran kepada orang lain.

Kesalahan tersebut dilakukan pada pukul 11.39 pagi pada hari sama di Pejabat Pertanyaan Balai Polis Tanjung Minyak dalam daerah Melaka Tengah.

Hasil siasatan mendapati laporan berkenaan adalah palsu dan semakan cap jari dan biometrik tertuduh di Jabatan Imigresen mendapati dia tiada rekod dokumen diri.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada masyarakat.

Bagaimanapun tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana bekerja kilang selain menyara dua anak dan isteri di Bangladesh.

Sharda Shienha menjatuhkan hukuman tujuh bulan penjara bagi kesalahan imigresen dan satu bulan penjara kerana membuat laporan palsu.

Hukuman diarahkan berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 20 Mei lalu. – SM

BACA Kantoi cuba masuk Singapura ikut landasan kereta api, lelaki Bangladesh ditahan

(Visited 164 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button