fbpx
MahkamahNasional

Perbicaraan kes rasuah bekas pengerusi Tabung Haji ditangguhkan

PERBICARAAN kes rasuah bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan abangnya Datuk Abdul Latif yang dijadual bermula hari ini ditangguhkan ke esok.

Ini susulan permohonan dikemukakan peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Abdul Azeez , yang memaklumkan mahkamah anak guamnya itu, yang juga Ahli Parlimen Baling, perlu menghadiri sidang Dewan Rakyat bagi pembentangan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019) (COVID-19) 2020 oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau memberitahu mahkamah kehadiran Ahli Parlimen adalah diwajibkan.

“Anak guam saya perlu ada di Parlimen pada 11.30 pada bagi pembentangan rang undang-undang itu,” kata peguam itu kepada Hakim Azura Alwi, yang kemudian menangguhkan perbicaraan itu ke esok.

Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad tidak membantah permohonan itu. Abdul Azeez dan Abdul Latif hadir di mahkamah.


Perbicaraan itu sebelum ini ditetapkan hari ini dan esok, sebelum tarikh perbicaraan seterusnya pada 7 Sept.

Difahamkan sembilan saksi akan dipanggil oleh pihak pendakwaan untuk memberi keterangan esok.

Abdul Azeez menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah, serta sembilan pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan hampir RM140 juta.

Pertuduhan rasuah itu didakwa dilakukan di Bank CIMB cawangan Menara UAB, Jalan Tun Perak, di sini pada 8 Dis, 2010, dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, di Petaling, Selangor pada 13 Jun, 2017 dan 10 April, 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa melakukan kesalahan itu di Lembah Klang antara 8 Mac, 2010 dan 30 Ogos, 2018.

Pertuduhan rasuah itu adalah mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, manakala pertuduhan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Abdul Latif, 62, diwakili peguam Fudhail Zulaini, dituduh bersubahat dengan Abdul Azeez, yang didakwa menerima RM4 juta daripada Mohammad Redzuan sebagai upah untuk membantu Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd mendapatkan projek jalan raya secara tender terhad daripada Kementerian Kerja Raya.

Projek itu melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru, kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak Darul Ridzuan) bernilai RM644,480,000.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Petaling, Selangor antara 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 28 (1)(c) Akta SPRM 2009. – BERNAMA

(Visited 2 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button