Nasional

Lebihan wang dideposit bukan milik pelanggan

CIMB Bank Bhd (CIMB) menegaskan ia tidak membekukan akaun pelanggan seperti yang didakwa tetapi hanya menahan wang yang secara tidak sengaja dimasukkan ke dalam beberapa akaun terbabit.

Menurut CIMB, ralat pemprosesan mengakibatkan dana bank sendiri digunakan bagi transaksi pendua bukan daripada pengirim atau pelanggan yang menerima.

“Selaras dengan amalan perbankan bagi kejadian sedemikian, kami menahan dan memperuntukkan jumlah pendua yang telah diproses untuk mendapatkan kembali bayaran yang tersalah dibuat kepada pelanggan.

“CIMB ingin mengulangi bahawa terdapat ralat pemprosesan perkhidmatan kiriman wang pihak ketiga tertentu yang menyebabkan pemindahan dibuat kepada pelanggan diproses dua kali secara tidak sengaja,” kata CIMB dalam kenyataan.

Menurut CIMB lagi, ini mengakibatkan pelanggan yang terjejas menerima kredit pendua ke dalam akaun mereka, iaitu transaksi-transaksi yang menggandakan jumlah dana diterima pelanggan.

Sementara itu, dua NGO membidas CIMB kerana didakwa membekukan 11,000 akaun akibat kesilapannya sendiri tanpa memaklumkan pelanggan.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Agenda Reset Malaysia (ARM) memberi amaran, jika CIMB gagal mencapai penyelesaian yang memihak kepada pemegang akaun, mereka akan melancarkan kempen meminta rakyat memboikot institusi kewangan berkenaan.

Bagaimanapun CIMB menegaskan, akaun yang terjejas tidak dibekukan dan pelanggan masih boleh menggunakan baki wang yang tidak termasuk dalam jumlah yang ditahan.

CIMB belum ada wang yang didebitkan daripada akaun pelanggan terjejas sambil menambah, pihaknya sedang bekerjasama dengan pelanggan untuk mencapai penyelesaian yang adil dan terurus.

“Ini termasuk menyediakan bukti dan dokumentasi yang jelas mengenai kredit berganda dalam penyata bank mereka dan merumuskan skim pembayaran balik yang fleksibel berdasarkan keadaan individu,” ujar CIMB.

CIMB menyediakan talian khusus untuk dihubungi pelanggan di 03-22956188. Pelanggan yang terjejas juga boleh menghubungi pusat panggilannya di talian 03-62047788 untuk mendapatkan bantuan. – SM

(Visited 2,512 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button