Nasional

PIBKS Muallim sokong saranan perkasa budaya membaca

Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Daerah Muallim menyokong saranan Timbalan Menteri Pendidikan I, Senator Datuk Dr Mah Hang Soon agar ibu bapa meluangkan masa 30 minit bersama anak-anak untuk mengikuti perkembangan pelajaran mereka.

Datuk Mah Hang Soon menyampaikan sumbangan buku kepada Pengetua Sekolah menengah Bandar Behrang 2020, Mohd Sabry Deraman.

Berucap pada majlis Sumbangan Buku Kepada Sekolah-sekolah Daerah Muallim di Sekolah Menengah Kebangsaan Proton City di sini semalam, Datuk Mah Hang Soon turut berkongsi dirinya ketika zaman persekolahan yang dianggap berkesan menerusi pendekatan berkenaan.

Beliau berkata ibu bapa antara insan penting yang membina semangat belajar walaupun sekadar 30 minit, tetapi memberi impak yang besar kepada prestasi akademik anak-anak mereka untuk jangka masa panjang.
“Kita perlu memupuk budaya membaca kerana ia amalan yang positif dalam membina kemenjadian dan modal insan pelajar seterusnya membina masa depan yang baik untuk negara,” katanya.

Membaca, katanya, adalah proses pembelajaran sepanjang hayat dan wajar dijadikan gaya hidup dalam kalangan rakyat Malaysia kerana masyarakat suka membaca adalah masyarakat yang cintakan ilmu.
Beliau turut menyarankan agar pelajar-pelajar sekolah membaca majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) seperti Dewan Masyarakat yang mementingkan mutu dalam kandungan dan gaya bahasa.

Datuk Mah Hang Soon dan Prof Madya Dr Ghazali Din memegang majalah bermutu DBP, Dewan Masyarakat.

“Justeru, saya menyeru semua murid dan guru menggalakkan budaya membaca di sekolah masing –masing dan memanfaatkan segala kemudahan yang sedia ada demi memupuk tabiat suka membaca,’ katanya.

Pada majlis itu Datuk Mah menyerahkan antara 90 hingga 160 buah buku kepada pengetua sekolah rendah dan menengah daerah Muallim.

Pada tahun 1999, katanya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan program NILAM bagi menggalakan aktiviti membaca di seluruh negara.

Sementara itu Pengerusi PIBKS Muallim, Prof Madya Dr Ghazali Din berkata budaya membaca dalam kalangan pelajar sekolah menghadapi cabaran apabila mereka lebih menggemari membaca dan melihat bahan-bahan di media sosial menerusi gajet.

 Datuk Mah Hang Soon melihat buku-buku yang disumbangkan kepada sekolah-sekolah daerah Muallim.

Beliau berkata sehubungan, semua sekolah di daerah Muallim perlu menggiatkan program yang boleh memperkukuhkan budaya membaca sepanjang masa supaya ia sebati dengan diri pelajar,” katanya.

Pelajar tingkatan enam, katanya, seharusnya membaca majalah terbitan DBP yang dapat membantu meningkatkan penguasaan dalam pembelajaran dan penulisan yang baik.

Beliau juga berharap kalangan komuniti dan swasta di daerah Muallim menyokong usaha pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) demi menjayakan program-program yang boleh memberi manfaat terhadap pelajar serta memajukan sekolah di kawasan mereka.

(Visited 227 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button