Hiburan

Tiket Konsert Estranged Apa Khabar Teman? murah

HARGA tiket murmur (murah-murah) sahaja bagi peminat kumpulan Estranged yang akan mengadakan persembahan bagi menyalur dana untuk Persatuan Sindrom Down Negeri Johor.

Jika dihitung hari, ada lagi sekitar tiga minggu sebelum Estranged mengadakan persembahan berupa konsert sulung mereka selepas lebih tujuh tahun artis berkumpulan ini tidak aktif di Semenanjung.

Untuk rekod, Estranged adalah kumpulan yang berasal dari Sabah dan kemunculan mereka telah berjaya membuat kejutan dalam kalangan peminat termasuk di Semenanjung, suatu ketika dahulu.

Estranged yang berkonsepkan rock dianggotai Rich Gimbang (vokalis), Din dan Hanafi, kedua-duanya bermain gitar, mengakui berbesar hati mengumumkan kolaborasi yang cukup bermakna di antara mereka dengan Persatuan Sindrom Down Negeri Johor (PSDNJ).

Kolaborasi tersebut menyaksikan Estranged bakal menggegarkan Persada Johor pada 3 Februari ini menerusi Konsert Estranged Apa Khabar Teman?

Kutipan yang terhasil daripada penjualan tiket akan disalurkan  sebahagiannya kepada PSDNJ.

Persembahan mereka kelak, menurut Estranged dalam kenyataannya, sebagai satu inisiatif kecil dalam memberi kembali kepada masyarakat terutama anak-anak istimewa di PSDNJ.

“Kami di Estranged sangat berbesar hati kerana dapat menjalin kolaborasi dengan Persatuan Sindrom Down Negeri Johor (PSDNJ).

“Para peminat, selain berhibur, objektif kami adalah memberikan sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat,” kata Estranged.

Menurut mereka dalam kenyataan yang sama, Estranged mahu membuktikan dengan sumbangan yang mungkin dilihat kecil tetapi ia memberi makna yang besar terutama dalam fasa dan perkembangan yang diperlukan PSDNJ untuk membantu anak-anak istimewa ini.

“Ia sekali gus menjadi platform buat karyawan seni tempatan menyalurkan hal-hal positif di sebalik hiburan yang dihidangkan,” ujar mereka.

Untuk mencapai matlamat, Estranged mengumpulkan sebanyak mungkin dana yang boleh disalurkan kepada PSDNJ.

Persembahan berupa konsert Estranged digerakkan hasil inisiatif Kementerian Komunikasi dan mengambil peluang, menawarkan harga tiket baharu buat peminat.

Tiket bagi kategori Itu Kamu dijual pada harga serendah RM50 diikuti Odoi RM40.

“Dengan penawaran harga baharu iaitu RM50 untuk zon Itu Kamu dan RM40 untuk Odoi kami mahu memanggil lebih ramai peminat Estranged hadir menyokong Konsert Estranged Apa Khabar Teman?,” kata mereka sambil menjanjikan, akan disapa secara ramah dan lebih intim dengan hadirin yang hadir menyaksikan persembahan mereka.

Konsert ini turut menyaksikan beberapa teman jemputan Estranged berkongsi pentas dan bereksperimentasi muzik melalui bahasa Iban, Kadazan Dusun dan Kelabit serta lagu Inggeris.

Peminat turut akan disajikan dengan persembahan bakat-bakat hebat iaitu teman jemputan kami dari Sabah dan Sarawak iaitu Alena Murang, Tuni Sundatang, At Adau dan Masterpiece.

Pihak penganjur juga akan berhubung dengan peminat yang sudah membeli tiket untuk sebarang urusan berkaitan menerusi kiriman emel. – SM

BACA Ramli Sarip bakal menggegarkan 6 lokasi dalam ‘Konsert Jelajah 2022’

BACA Selepas Jimmy Palikat, Rich Estranged pula nak bertanding PRN Sabah

(Visited 69 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button