Nasional

Moratorium bayaran balik pinjaman RM51.4 bilion sehingga 6 Julai – Tengku Zafrul

MORATORIUM bayaran balik pinjaman institusi kewangan yang dilaksanakan di bawah Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bermula sejak 1 April 2020, berjumlah RM51.4 bilion setakat 6 Julai 2020.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak RM17.9 bilion dimanfaatkan oleh sektor perniagaan manakala RM33.38 bilion dimanfaatkan oleh rakyat.

Menurut beliau, walaupun hanya bersifat sementara, pemberian moratorium tersebut dapat membantu golongan terjejas terutamanya yang kehilangan sumber pendapatan, di samping membantu isi rumah meneruskan kehidupan tanpa perlu risau memikirkan komitmen hutang.

“Bagi mereka yang masih terkesan dari segi kewangan dan mungkin memerlukan kemudahan penyusunan dan penjadualan, diseru agar mendapatkan bantuan awal dan bersasar.

“Ini dapat dibuat dengan menghubungi institusi kewangan masing-masing atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mendapat khidmat nasihat,” kata Tengku Zafrul.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Laporan Ke-12 Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) bagi pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), menerusi laman Facebooknya hari ini.

Menurut beliau lagi, bagi Bantuan Prihatin Nasional (BPN), antara 26 Jun hingga 6 Julai, kira-kira 30,000 penerima BPN telah menerima bayaran di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN)  di seluruh negara.

Ini membawa jumlah penerima BPN kepada 10.245 juta orang dengan keseluruhan bayaran sebanyak RM10.92 bilion yang mewakili tahap pelaksanaan pada 97.5 peratus.

Sehingga 6 Julai, 140 ribu individu bujang dan isi rumah telah menerima bantuan BPN berjumlah RM120 juta daripada peruntukan RM139 juta.

Mengenai insentif tunai kepada pemandu teksi, pemandu pelancong dan pemandu bas pelancongan, beliau berkata kerajaan telah menyalurkan bantuan kepada 28,962 pemandu teksi berjumlah RM17.4 juta buat penerima fasa pertama.

Bagi penerima fasa kedua, tarikh permohonan rayuan telah ditutup pada 1 Julai lalu dan sedang dalam proses semakan.

Bagi tempoh yang sama, Geran Khas Prihatin (GKP) yang dibayar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Mikro berjumlah RM1.634 billion dan memanfaatkan 544,632 PKS Mikro manakala pembayaran kumpulan rayuan GKP bermula minggu lalu dan perkembangan terkini akan dimaklumkan minggu depan.

Bagi Program Upah Subsidi, sebanyak RM7.15 bilion telah diluluskan kepada 310,622 majikan yang memanfaatkan lebih 2.48 juta pekerja sehingga 6 Julai.

Sehingga tempoh yang sama, Program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menerima 37,900 permohonan dan daripadanya 10,528 permohonan telah diluluskan bernilai RM70.4 juta bagi caruman KWSP majikan.

“Kerajaan ingin menekankan bahawa KWSP akan membuat pemantauan rapat untuk memastikan caruman yang distruktur semula akan tetap dibayar pada masa hadapan.

“Tindakan boleh diambil ke atas majikan yang tidak menunaikan tanggungjawab masing-masing dari segi caruman untuk tabung persaraan pekerja,” kata Tengku Zafrul.

Mengenai Dana Pinjaman Mudah PKS) yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia, beliau berkata, permohonan yang diluluskan oleh bank tempatan dan disetuju terima oleh PKS adalah sebanyak RM8.7 bilion yang akan memanfaatkan 21,104 PKS.

Jumlah ini termasuk dana Kemudahan Bantuan Khas, Kemudahan Automasi dan Digital, Kemudahan Semua Sektor Ekonomi dan Kemudahan Makanan Agromakanan.

Manakala di bawah Skim Kredit Mikro BSN, sebanyak 8,737 permohonan daripada peniaga mikro telah diluluskan bernilai RM296.99 juta dan TEKUN Nasional meluluskan 25,278 permohonan bernilai RM192.98 juta.

Tengku Zafrul turut berkongsi mengenai pemberian bantuan tunai secara sekali seperti bantuan kepada pelajar institusi pengajian tinggi, pesara kerajaan dan pemandu e-hailing dan teksi melibatkan pembayaran berjumlah RM14.3 bilion, dengan tahap pencapaian pelaksanaan pada kadar yang tinggi iaitu 91 peratus.

Bagi inisiatif yang melibatkan pelaksanaan dalam jangka masa antara tiga hingga enam bulan pula, seperti diskaun bil elektrik, subsidi upah (asal), moratorium, e-CAP KWSP dan lain-lain yang melibatkan peruntukan sebanyak RM126.4 bilion, pelaksanaan adalah pada tahap 47 peratus.  – BERNAMA

(Visited 187 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button