Nasional

Kesalahan tidak daftar masuk premis masih tinggi

PERINTAH Kawalan Pergerakan telah dikuatkuasakan sebanyak tiga kali sejak lebih setahun lalu namum masih terdapat individu gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis.

Kesalahan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terus mendahului senarai berbanding kesalahan
lain.

Menurut Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, daripada 493 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP semalam 214 adalah kerana gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis direkodkan.

“Ini menunjukkan masih ada di kalangan kita bersikap sambil lewa sedang COVID-19 kini sudah berada dalam komuniti.

“Kegagalan pematuhan SOP bukan sahaja menyukarkan pihak berkuasa mengesan sesuatu kes sebaliknya akan mendatang masalah kepada orang lain.

“Sebagai contoh, jika berlaku penyebaran kes, adalah sukar bagi pihak berkuasa mengesan siapa yang ada kontak rapat dan sebagainya. Sebab itulah kerajaan sentiasa meniitik-beratkan terhadap pematuhan SOP kerana ia mampu mengekang berlakunya penularan,” katanya dalam satu kenyataan.

Daripada jumlah yang ditahan semalam seramai 480 individu dikompaun manakala 13 lagi direman.

Antara kesalahan direkodkan ialah aktiviti pusat hiburan (16), tidak memakai pelitup muka (84), tiada penjarakan fizikal (52) dan lain-lain (127).

Menurut Ismail Sabri, kerajaan telah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya meningkatkan pemantauan pematuhan SOP di negeri dan kawasan hotspot yang dikenalpasti di bawah sistem HIDE.

Langkah-langkah penguatkuasaan oleh agensi penguatkuasaan yang lain juga akan dipertingkatkan di lapangan.

Sementara itu Perintan Kawalan Pergerakan dikenakan di Daerah Kluang, Johor dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan dilaksanakan di Kampung Keramat, Semporna, Sabah.

Sejak 4 Mei 2021 dan sehingga semalam, daerah Kluang telah merekodkan 512 kes positif daripada keseluruhan 3,867 ujian saringan yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selain itu, KKM juga melaporkan terdapat empat kluster aktif di daerah tersebut selain kadar positif pula ialah 13 peratus manakala kadar jangkitan semakin meningkat di beberapa perkampungan dan taman perumahan.

Sementara Kampung Keramat, Semporna, Sabah merekodkan 10 kes positif COVID-19 daripada 101 ujian saringan yang dilakukan ke atas penduduk di lokaliti tersebut.

KKM juga melaporkan berlaku peningkatan jumlah kes yang amat ketara selain pematuhan SOP penduduk di  lokaliti tersebut masih rendah.-SM

 

 

 

(Visited 138 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button