Nasional

STR Fasa 3 membantu kewangan rakyat

ATAS keprihatinan kerajaan, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 yang pada awalnya dijadual dibayar pada Julai, dipercepatkan pada 26 Jun lalu.

Ternyata golongan penerima bersyukur dan merasa lega kerana bagi keluarga Islam, mereka boleh menggunakannya untuk perbelanjaan Hari Raya Aidiladha.

Golongan B40 menzahirkan rasa gembira apabila menerima STR Fasa 3 yang diperuntukkan lebih RM2 bilion untuk lebih 8 juta penerima.

Memuji keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk mempercepatkan bayaran tersebut, rakyat berharap STR diteruskan pada masa akan datang.

Golongan penerima STR mengakui bahawa inisiatif Kerajaan Perpaduan telah berjaya meringankan sedikit sebanyak beban kos sara hidup mereka.

Inilah yang dinyatakan oleh ibu tunggal, Siti Nurhayana Mokhtar, 45, yang menganggap bantuan STR sebanyak RM150 daripadakerajaan ini a sebagai satu rahmat kepadanya yang amat memerlukan bantuan kewangan pada ketika ini.

“Bantuan SRT yang saya terima hari ini mungkin bukan satu jumlah yang besar bagi sesetengah orang tetapi bagi saya, ia adalah satu bentuk bantuan yang tepat pada masanya untuk orang seperti saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan bantuan itu di Bank Simpanan Nasional (BSN), Jalan Munsyi  Abdullah, Melaka.

Beliau yang bekerja sebagai pembantu di sebuah restoran di Bandar Hilir Melaka juga berkata bantuan yang diterimanya itu dapat meringankan perbelanjaan bulanannya bersama dua orang anak yang masih kecil, masing-masing berusia empat dan tujuh tahun.

Seorang lagi penerima STR Fasa 3 yang berasal dari Limbongan, Sabah, Dahlia Mokhtar, 48, berkata beliau menyambut baik keputusan kerajaan mempercepatkan bayaran STR kali ini.

Sambil tersenyum, Dahlia berkata duit STR sebanyak RM400 yang diterimanya itu dapat digunakan sebagai persediaan sambutan Aidiladha.

Bekerja sebagai pekerja am dengan syarikat SWM Environment Sdn. Bhd, Dahlia juga berkata wang yang diterimanya itu, selain daripada membuat persiapan menyambut Aidiladha, akan digunakan untuk menampung perbelanjaan harian dirinya bersama empat orang anak.

“Saya harap sangat bantuan STR ini tidak dihentikan sebaliknya dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

Seorang lagi penerima STR Fasa 3, Mohd. Daud Rasip, 53, berkata beliau amat berharap Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar dapat meneruskan pemberian bantuan untuk tahun-tahun berikutnya.

“Kalau dapat ditambah jumlahnya, saya rasa lega kerana bantuan STR ini sebenarnya penting untuk golongan B40 kerana ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan,” ujar beliau.

Kata Mohd. Daud, beliau bersyukur dengan bantuan tunai RM150 yang diterimanya.

“Orang lain akan kata, tidak banyak manapun bantuan STR yang saya dapat tetapi atas rasa keprihatinan kerajaan, sumbangan tunai ini membantu,” katanya yang masih bujang dan mencari rezeki sebagai maskot Panda di Bangunan Stadthuys.

Warga emas yang juga pesara, Ang Hoo Thong, 75, mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang sentiasa mengambil berat tentang nasib rakyat termasuk golongan warga emas.

“Terima kasih Perdana Menteri. Saya dapat wang RM300. Saya guna untuk beli barangkeperluan harian.

“Saya harap bantuan ini akan diteruskan oleh kerajaan kerana dapat meringankan beban golongan seperti saya,” kata Ang yang berasal dari Lorong Panjang, Ujong Pasir.

Seorang lagi pesara dan warga emas, Teo Seng Thai, 73, yang ditemui berkata, bantuan sebanyak RM300 yang diterimanya akan digunakan untuk membayar pelbagai bil.

“Saya harap Perdana Menteri terus bagi bantuan STR pada tahun hadapan. Sebagai pesara dan warga emas, mana larat mahu kerja. Jadi wang yang kerajaan bagi, saya boleh guna,” katanya.

Penerima STR Fasa 3, menerima sumbangan wang tunai antara RM100 sehingga RM1,300 mengikut kelayakan masing-masing.

STR Fasa 1 dan STR Fasa 2 telah disalurkan kepada golongan penerima pada Januari dan April 2023.

Ketiga-tiga fasa STR itu melibatkan peruntukan pembayaran berjumlah RM5 bilion dan pembayaran fasa keempat STR dijangka pada November. – SM

 

(Visited 122 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button