Nasional

Lahirkan ramai lagi Ebit Lew, bukannya `ustaz selebriti’

KOMENTAR

SEHARI dua ini, penulis teringat sangat filem “Seri Mersing” terbitan tahun 1961 lakonan heronya Allahyarham Nordin Ahmad.

Yang menariknya adalah pengungkapan ujaran plot konflik dalam filem itu yang memancarkan akal budi orang Melayu.

Antara bahasa kiasan yang sering dilagu-lagukan, malah relevan diguna pakai sampai ke hari ini yang sempat SUARA MERDEKA kutip, bunyinya begini:

Penghulu: Dah terang Malau, nampaknya si Damak nak mengotorkan nama kau.

Malau: Kau nak mengotorkan bumi Mersing ya…Dagang merempat tak sedar diri.

Damak: Ya, saya tahu saya dagang merempat Pak Malau. Saya tak berniat nak mengotorkan bumi Mersing, apa pun yang saya lakukan semata-mata untuk menolong, Pak Malau.

Dan semalam bila mana pendakwah Ebit Lew ditempelak dan disindir ketika melakukan kerja amal sedekah jariahnya, penulis ada rasa sedikit terkilan.

Mengapa perlu begitu? Siapa tahu pesakit strok, Ishak Darus, 77, di Lorong Gedebang, Jalan Langgar di Alor Setar yang dibantu Ebit Lew rupa-rupanya telah lama dibantu oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sejak 12 tahun lalu?

Bukan setakat usaha memujuk untuk berpindah sudah lama dilakukan, malah rekod menunjukkan keluarga daif itu turut menerima pelbagai bantuan LZNK sejak 2007.

Tapi mengapa sehingga hari ini, Ishak yang menghidap angin ahmar bersama keluarga besarnya kira-kira 20 orang masih mendiami rumah usang ‘yang nak dikatakan rumah pun kita tak tergamak’.

Kalau orang luar Kedah tengok kedaifan mereka anak beranak, sesiapa pun pasti sedih. Tinggal berhimpit-himpit dengan lantai beralaskan tikar getah, dinding kayu reput dimakan anai-anai, malah sebahagian bumbung zink berlubang.

Salahkah Ebit Lew membantu keluarga susah itu? Pendakwah itu hanya membawa atau menyampaikan sedekah orang ramai dari seluruh negara untuk disumbangkan.

Dan walaupun ada wang atau sumbangan dikeluarkan dari poketnya sendiri, mungkin tak diuar-uarkannya. Mengapa ada yang tergamak menempelak Ebit Lew dengan ungkapan yang bukan-bukan?

Sedih apabila mendengar ada pihak mendakwa tindakan Ebit Lew memberikan bantuan kepada golongan asnaf di negeri itu telah menyebabkan mereka dikecam dan difitnah masyarakat.

Ada pihak pula dengarnya dari pejabat kerajaan negeri melahirkan rasa tidak puas dengan mengeluarkan kenyataan berbaur sindirin terhadap ustaz tersebut.

Bukan itu sebenarnya cara berurusan dengan keluarga-keluarga daif seperti keluarga Ishak terbabit. Pasti ada kaedah penyelesaian muktamadnya. Berjiwa besarlah sikit.

Masakan kemiskinan yang ketara sedemikian yang dilhat orang luar terutama bukan Islam, tidak mampu diselesaikan selama lebih satu dekad?

Orang-orang seperti Ebit Lew harus dialu-alukan kerja-kerja kebajikannya. Beliau redah apa sahaja asalkan benda itu nampak terang lagi bersuluh bahawa itu namanya kemiskinan.

Soal sudah lama bantu, orang yang dibantu malas tidak mahu pula membantu dirinya atau “hang hidang pi la lauk macam mana pun depan mata, tapi kalau tuan punya badan nak suap sendiri pun malas, takdak manusia yang boleh bantu lagi”, itu pun bukan suatu isu.

Ada hikmahnya usaha yang digerakkan Ebit Lew di Lorong Gedebang, Jalan Langgar di Alor Setar tempoh hari.

Lebih banyak pihak akan buka mata lebih besar lagi.

Bahkan, sepatutnya lebih ramai ustaz Ebit Lew dilahirkan. Bukannya melahirkan ‘ustaz-ustaz selebriti’ tertentu yang bertujuan sekadar meraih populariti diri.

Ebit Lew bukanlah Damak dalam filem Seri Mersing. Senasib, barangkali ada.

Tetapi buat pengkritik-pengkritik pendakwah bebas ini, renung-renungkanlah ini:

“Kalau hendak berumah biarlah dindingnya papan, kalau hendak dihormat biarlah bersopan”. Cerminkanlah kebijaksanaan dan akal budi anda, apa lagi kepada mualaf muda berusia 36 tahun seperti Ebit Lew.

Syabas Ebit Lew! Teruskan usaha murni kerja-kerja amal jariah anda. -SM

(Visited 814 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button