Mahkamah

Bunuh teman wanita, bekas mekanik ke tali gantung

SEORANG bekas mekanik yang disabitkan kesalahan membunuh teman wanitanya pada hari raya kedua lima tahun lepas dengan mayat ditemukan berbalut selimut putih selepas kemalangan sebuah kereta di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuantan, hari ini gagal dalam rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan di sini untuk mengetepikan hukuman mati ke atasnya.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim sebulat suara menolak rayuan Norhalis Mohamad Zaid, 33, terhadap hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Temerloh pada 2 Oktober 2018 selepas didapati bersalah membunuh Noor Salwana Wahab, 28, seorang jurutol.

Hakim Abang Iskandar yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Vernon Ong Lam Kiat berkata selepas meneliti hujahan dan rekod rayuan yang dikemukakan perayu, mahkamah mendapati sabitan yang telah direkodkan ke atas perayu adalah selamat.

“Mahkamah juga mendapati tiada sebab untuk perayu mengganggu fakta dan dapatan oleh Mahkamah Tinggi yang dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan. Mahkamah juga mendapati rayuan dikemukakan perayu tidak mempunyai merit. Dengan ini, mahkamah mengekalkan sabitan dan hukuman perayu. Oleh itu, rayuan perayu ditolak,” kata hakim itu.

Norhalis didakwa membunuh wanita itu di kawasan sekitar hotel, di Seri Kembangan antara 6.30 petang, 17 Julai 2015 dan pukul 2 pagi, 18 Julai tahun sama, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi berhujah keterangan seorang pakar patalogi menunjukkan bahawa kematian mangsa disebabkan oleh jerutan dan “manual strangulation” dan bukan akibat hentakan tali pinggang keledar semasa berlaku kemalangan jalan raya seperti yang didakwa oleh perayu.

“Kepakaran saksi pendakwaan ini tidak pernah dicabar dan saksi itu juga tidak pernah disoal balas oleh pihak pembelaan berhubung terdapat kemungkinan tali pinggang keledar dalam kereta yang telah menyebabkan  kecederaan pada leher mangsa semasa berlaku kemalangan.

“Perayu cuba menggunakan teori ‘tali pinggang’ dengan alasan seorang saksi pendakwaan yang menolong perayu mengangkat mangsa, yang tidak sedarkan diri, tidak berbaju dengan dibaluti selimut putih turun daripada sebuah hotel melalui tangga sebelum dibawa masuk ke dalam sebuah kereta, tidak nampak kesan kecederaan pada leher mangsa,” katanya.

Beliau berkata ini adalah kerana badan mangsa besar dan kesan cedera itu terlindung oleh dagu dan kepala mangsa menyebabkan saksi tersebut tidak nampak kesan jerutan itu.

Tetralina berhujah tidak mungkin kesan kecederaan yang panjang dan mengelilingi leher mangsa terjadi akibat hentakan tali pinggang keledar semasa kemalangan berlaku.

Peguam Ghazali Ismail yang mewakili Norhalis pula berhujah bahawa kecederaan pada leher mangsa disebabkan hentakan tali pinggang keledar yang dipakainya semasa berlaku kemalangan jalan raya dan bukan disebabkan oleh jerutan.

“Oleh kerana mangsa tidak sedarkan diri, beliau tidak dapat ‘melindungi’ dirinya semasa kemalangan itu berlaku,” katanya yang turut memaklumkan saksi pendakwaan yang membantu perayu mengangkat mangsa turun ke lobi juga tidak nampak kesan cedera pada leher mangsa.

Perayu memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Temerloh pada 2 Okt 2018. Mahkamah Rayuan pada 10 Okt 2019 telah menolak rayuan perayu dan mengekalkan sabitan dan hukuman berkenaan.- BERNAMA

(Visited 199 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button