Nasional

Fasa satu Pelan Pemulihan Negara tunjuk tanda positif

FASA satu Pelan Pemulihan Negara menunjukkan tanda positif dalam usaha melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19.

Fasa satu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 secara menyeluruh di seluruh negara yang berkuatkuasa mulai 1 Jun lalu berjaya menurunkan kes harian daripada rekod tertinggi lebih 9,000 kes pada bulan Mei kepada 5,419 kes semalam.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin semalam merupakan satu strategi peralihan keluar secara berfasa dari kemelut COVID-19.

“Pelan ini mengambil kira semua pertimbangan bagi memastikan keputusan yang diambil adalah demi menyelamatkan nyawa serta kelangsungan hidup rakyat.

“Fasa Pertama PKP menyeluruh ini terpaksa dilaksanakan susulan peningkatan kes mendadak yang mengancam sistem kesihatan awam. Justeru, kerjasama anda semua amat diperlukan bagi menjayakan Pelan Pemulihan Negara ini,” kata Ismail Sabri.

Sementara itu jumlah individu yang ditahan kerana ingkar SOP masih lagi melebih 800 kes. Menurut Ismail Sabri, semalam 841 individu ditahan. Daripada jumlah itu seramai 821 individu dikompaun manakala 20 lagi individu direman.

Rentas negeri, daerah tanpa kebenaran, makan di premis mencatatkan kes tertinggi iaitu 170 diikuti tiada penjarakan fizikal (165) dan tidak memakai pelitup muka (157).

Individu gagal merekod butiran diri, daftar masuk premis (103), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (91), membawa penumpang berlebihan (87), aktiviti pusat hiburan (32), premis gagal patuhi arahan (12) dan lain-lain (24)

Dalam pada itu sebanyak 90 buah kilang telah diarahkan tutup sejak PKP 3.0 bermula pada 1 Jun sehingga 14 Jun.

Menurut Ismail Sabri, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melakukan pemeriksaan ke atas 404 buah kilang dalam tempoh tersebut untuk memastikan sektor perkilangan dan perniagaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang PKP menyeluruh.

“Secara kumulatifnya, sebanyak 24,834 kilang dan premis perniagaan telah diperiksa sejak 14 Januari yang melibatkan 22,819 premis perniagaan dan 2,015 kilang.

“Sehingga kini, 143 kilang dan 17 premis bukan kilang telah diarahkan tutup,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan.

Manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melaksanakan sebanyak 597,252 pemeriksaan dan telah mengeluarkan sebanyak 414 kompaun sejak 13 Mei.

Semalam 1428 pemeriksaan pematuhan harian telah dilaksanakan dan sebanyak 22 kompaun telah dikeluarkan ke atas premis-premis perniagaan yang gagal mematuhi SOP perintah kawalan pergerakan.-SM

 

 

 

(Visited 126 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button