Hiburan

Kenapa tak balik? Dah tak nak jumpa mak ke? – Ramlah Ram

SEJAK Ramadan hinggalah ke Syawal, ramai yang berkongsi pengalaman di media sosial apabila tidak boleh pulang ke kampung kerana larangan rentas negeri.

Perkara sama juga dialami oleh penyanyi, Ramlah Ram yang tidak boleh merentas negeri untuk melihat ibunya di kampung di Johor.

“Memang dah lama tak pulang ke kampung untuk berjumpa dengan ibu. Hanya dapat berhubung dengan telefon sahaja.

“Tetapi itulah, setiap kali telefon, mesti saya sebak sebab soalan sama yang ditanya iaitu bila hendak pulang ke kampung,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Ramlah lagi, ibunya mengalami masalah ingatan dan sering bertanya soalan yang sama walaupun sudah diberitahu berkenaan larangan rentas negeri.

Buat masa ini menurut Ramlah, dia masih mempunyai adik beradik lain yang berada di kampung untuk menjaga ibunya.

“Setiap kali saya hubungi dia, setiap kali soalan bila nak balik kampung akan ditanya. Malah, mak pernah cakap yang saya dah tak nak berjumpa dengan dia lagi.

“Tetapi itulah, setiap kali saya terangkan, dia akan faham. Nanti bila saya hubungi lagi, dia akan cakap lagi perkara sama.

“Jadi saya kena terus beri penerangan sebab mak memang mempunyai masalah ingatan. Dia akan faham buat seketika sahaja,” katanya. -SM

(Visited 530 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button