Nasional

Nusi tuntut Pudin mohon maaf

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengemukakan notis tuntutan terhadap Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail supaya Menteri Dalam Negeri itu memohon maaf dalam tempoh tujuh hari kerana didakwa menfitnah beliau berhubung kegiatan mencuri unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.

Muhammad Sanusi turut menuntut Saifuddin membayar ganti rugi munasabah berhubung kenyataan dakwaan fitnah tersebut yang mendakwa beliau menerima kompaun RM500,000 atas kesalahan mencuri unsur nadir bumi.

Tuntutan permohonan maaf itu dinyatakan dalam notis dihantar oleh Tetuan Tengku Amalin & Faizi, yang mewakili Muhammad Sanusi kepada Saifuddin, pada Khamis.

Dokumen notis berkenaan turut dilihat Astro AWANI.

Tengku Amalin berkata, anak guamnya turut menuntut dalam tempoh tujuh hari agar Saifuddin mengeluarkan aku janji bertulis untuk berhenti daripada mengulangi mana-mana dakwaan seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Sekiranya anak guam saya tidak menerima apa-apa maklum balas yang memuaskan dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh penerimaan notis ini, arahan kami adalah untuk memohon suatu perintah injunksi dan meneruskan tindakan perundangan terhadap Sanusi,” katanya.

Notis tuntutan itu mendakwa pada 15 Julai lalu, Saifuddin mengungkap secara lisan dihadapan pengamal media bahawa Muhammad Sanusi menggunakan sebahagian peruntukkan dana Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) yang menyalahi tatakelola dipakai bagi pentadbiran kewangan kerajaan.

“Dakwaan itu termasuk anak guam kami selaku Menteri Besar Kedah dan pemimpin parti berteraskan Islam tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang tatakelola berhubung pengurusan kewangan kerajaan dan gagal mentadbir negeri dengan baik serta mempunyai rekod pengurusan kewangan yang cacat dalam tempoh pentadbiran,” katanya.

Tengku Amalin berkata, kenyataan Saifuddin itu telah dirakam, dilaporkan serta disebarkan secara meluas di media sosial dan agensi berita tempatan.

Peguam itu mendakwa, kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud Muhammad Sanusi seorang pencuri dan terlibat dalam kegiatan mencuri hasil bumi negeri Kedah Darul Aman.

Jelasnya, kenyataan fitnah itu turut membawa maksud Muhammad Sanusi mengkhianati penduduk negeri Kedah dengan mengaut hasil bumi bagi tujuan peribadi dan wang ringgit.

Peguam itu berkata, Muhammad Sanusi menegaskan, kenyataan fitnah itu adalah tidak benar serta dibuat untuk merendahkan maruah beliau selain telah dirancang untuk memburukkan reputasinya demi kepentingan peribadi dan politik.

“Saifuddin telah membuat kenyataan fitnah itu dalam tempoh menjelang Pilihan Raya Negeri Kedah dan nyata merupakan sebahagian daripada bahan kempen dan serangan politik untuk memburukkan Perikatan Nasional dan Pas,” ujarnya.

Peguam itu turut menjelaskan, Muhammad Sanusi dilantik menjawat jawatan Pengerusi Menteri Besar Incorporated (MBI) secara automatik berikutan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah.

“Pejabat Tanah dan Galian Kedah telah teratur mengeluarkan dan memberikan permit penggunaan kepada MBI untuk membangunkan ladang hutan di Kawasan kejadian kecurian tersebut. MBI telah melantik satu syarikat usaha sama untuk membangunkan ladang hutan tersebut.

“Kompaun dikeluarkan bukan atas dasar kesalahan anak guam kami mencuri unsur nadir bumi tetapi kerana MBI merupakan pemegang permit penggunaan ladang hutan tersebut dan kompaun dikeluarkan berikutan Tindakan pihak ketiga yang melakukan aktiviti pencerobohan serta kegiatan mencuri unsur nadir bumi di ladang hutan tersebut.

“Pihak ketiga tersebut yang beralamat di Kuala Krai, Kelantan telah pun menjelaskan kompaun tersebut dan ia tidak pernah ditujukan secara khusus kepada anak guam kami,” katanya.

Pada 15 Julai lalu, Saifuddin mendakwa Muhammad Sanusi didenda RM500,000 kerana kesalahan mencuri REE tahun lalu.

Beliau turut mendakwa pimpinan kerajaan negeri Kedah didakwa lemah dalam pengurusan kewangan dan menyalahguna peruntukkan MARRIS.

(Visited 341 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button