Nasionalpilihan

KEJORA rai Jubli Emas dengan pelbagai kejayaan membanggakan

LEMBAGA Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), telah membelanjakan sejumlah RM1.5 bilion bagi membangunkan wilayahnya dalam tempoh 50 tahun sejak penubuhannya pada tahun 1972.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, KEJORA yang juga sebuah agensi di bawah kementeriannya telah mencapai banyak kejayaan membanggakan sepanjang penubuhannya.

“Dari segi infrastruktur dan prasarana dari dahulu hingga sekarang dalam Wilayah KEJORA yang melibatkan jalan luar bandar, jalan perhubungan desa, bekalan air dan bekalan elektrik boleh dikatakan kita telah mencapai 100 peratus.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Jubli Emas KEJORA di Dataran Tanjung Balau di sini hari ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Jubli Emas KEJORA di Dataran Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor. Foto: UKK KPLB

Turut hadir, Pengurus Besar KEJORA, Datuk Mohd Rusdi Darus dan Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip.

Jelas Mahdzir, KEJORA juga berjaya membina sejumlah 23 ribu rumah kediaman di wilayah itu selain mewujudkan enam buah bandar baharu dalam tempoh 50 tahun.

“Sekarang ni pun ada lagi pembinaan baharu rumah yang sedang dibina dan dirancang dan sedang masuk kebenaran dari majlis serta ada lagi tanah-tanah yang boleh dibina rumah untuk penduduk di Wilayah KEJORA”.

KEJORA juga katanya berjaya melahirkan 1,500 usahawannya dalam pelbagai sektor perniagaan dalam tempoh 30 tahun.

Ditanya mengenai penjenamaan semula KEJORA selepas 50 tahun, Mahdzir bersetuju perkara itu dilaksanakan oleh pihak pengurusan tertinggi agensi itu.

Pada majlis tersebut juga KEJORA turut menerima pengiktirafan dari The Malaysia Book Of Records bagi Ladang Penyelidikan Pertama Mengkuang yang dibangunkan secara komersial di Sedili Besar, Kota Tinggi, Johor. Foto: UKK KPLB

“Saya bersetuju untuk dijenamakan semula dengan penambahbaikan dan penambahan aktiviti yang saya sebut tadi, satu legasi kita telah berjaya 50 tahun dan satu lagi adalah dari sekarang ke 50 tahun akan datang apa yang kita nak buat dan itu kita serah kepada ahli Lembaga Pengarah KEJORA dan kepada pengurusan tertinggi untuk mereka bincang.”

Dalam pada itu, KEJORA turut menerima pengiktirafan dari The Malaysia Book Of Records bagi Ladang Penyelidikan Pertama Mengkuang yang dibangunkan secara komersial di Sedili Besar, Kota Tinggi, Johor. – SM

Bacaartikel ini > PEDi perkasa transformasi ekonomi, digital di Johor

(Visited 421 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button