Nasional

KWSP utamakan integriti data ahli

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ingin menjelaskan mengenai status terkini baki simpanan ahli seperti yang telah dibangkitkan di Parlimen baru-baru ini, terutamanya yang berkaitan dengan inisiatif Kerajaan untuk meningkatkan simpanan persaraan ahli KWSP berusia 40-54 tahun dengan simpanan RM10,000 atau kurang dalam Akaun 1 melalui sumbangan one-off sebanyak RM500.

KWSP memberikan keutamaan tertinggi kepada pemeliharaan integriti data ahli dan pematuhan dasar, kawalan, dan prosedur audit yang ketat. Ini sejajar dengan peranan KWSP sebagai pemegang amanah dan pelindung dana simpanan persaraan ahli.

KWSP menjelaskan bahawa jadual yang terdapat dalam Laporan Tahunan KWSP 2021 merujuk kepada ahli aktif sahaja. Sehingga akhir Disember 2022, terdapat 4.81 juta ahli KWSP dalam lingkungan umur 40-54 tahun, dengan 2.17 juta merupakan ahli aktif, dan 2.64 juta ahli tidak aktif (didefinisikan sebagai tidak membuat sebarang caruman dalam setahun lepas):

Perbezaan yang besar antara purata dan median dalam setiap lingkungan umur menunjukkan jurang ketidaksamaan yang tinggi di antara ahli KWSP, di mana sebahagian kecil ahli memegang bahagian simpanan yang lebih besar.

Jumlah simpanan median adalah ukuran yang lebih sesuai untuk membandingkan tahap simpanan ahli KWSP kerana ia mewakili titik tengah simpanan apabila semua simpanan ahli KWSP adalah diatur mengikut urutan menaik dari jumlah terendah ke tertinggi.

Beberapa faktor telah menyumbang kepada jumlah simpanan ahli yang rendah bagi kumpulan umur ini:
1. Gaji permulaan yang lebih rendah bagi mereka yang memulakan kerjaya mereka sebelum gaji minimum Malaysia dilaksanakan pada tahun 2013;

2. Cabaran struktur gaji di mana 44% penyumbang KWSP mempunyai pendapatan kurang dari RM2,000 dan 81% mempunyai pendapatan kurang dari RM5,000;

3. Caruman yang tidak konsisten disebabkan oleh ahli yang beralih keluar dan masuk dari sektor formal, di mana hanya 45% daripada 4.81 juta ahli dalam kumpulan umur ini telah membuat caruman pada tahun 2022, manakala selebihnya tidak membuat sebarang caruman pada tahun lepas;

4. Hanya separuh daripada tenaga kerja sektor swasta yang berada di bawah kontrak pekerjaan formal, diwajibkan untuk membuat caruman kepada KWSP. Tenaga kerja selebihnya terdiri daripada individu dalam sektor lain seperti pertanian, pekerjaan tidak formal, pekerja kontrak atau pemilik perniagaan;

5. Sebanyak 2.85 juta atau 59% daripada ahli dalam kumpulan umur ini telah memohon satu atau lebih daripada pengeluaran berkaitan COVID-19 dan mengeluarkan sebanyak RM62 bilion, seterusnya mengurangkan lagi jumlah simpanan mereka.

KWSP menyambut baik inisiatif sumbangan one-off sebanyak RM500 oleh Kerajaan yang akan terbuka kepada ahli aktif dan juga tidak aktif sebagai langkah untuk meningkatkan simpanan persaraan ahlinya. Insentif ini akan menjadi pemangkin kepada pembinaan semula simpanan ahli untuk mencapai persaraan yang lebih selesa dan seterusnya membantu mengurangkan kesan berikutan perkembangan pesat populasi menua Malaysia.

Butiran program ini sedang diperinci bersama Kementerian Kewangan, tertakluk kepada kelulusan belanjawan daripada Parlimen, dan akan dimaklumkan kepada ahli kelak. – SM

(Visited 298 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button