fbpx
Nasional

‘Populariti’ Bossku ‘atasi’ Najib

EKSKLUSIF

SETELAH setahun, fenomena Bossku terbukti mengatasi populariti nama Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri.

Ini diakui sendiri bekas Perdana Menteri itu kepada Suara Merdeka sambil menyuarakan rasa hairan dengan sambutan rakyat yang begitu dahsyat terhadap jenama itu sehingga menenggelamkan laungan “Hidup BN (Barisan Nasional)”.

“Maknanya, sebut Bossku sebut Barisan, tapi maknanya cukup serasi sebut Bossku sehingga di Sabah hilang nama saya…jadi Datuk Seri Panglima Bossku, benar betul impaknya.

“(Begitupun) saya lebih suka dipanggil Bossku sebab dekat dengan rakyat. Posting saya, Alhamdulillah nombor satu, saya tak mahulah nak claim credit sangat, tapi itulah kedudukannya yang boleh tengok data-datanya,” kata beliau di Kota Kinabalu hari ini dalam satu pertemuan santai dengan portal dari Semenanjung itu, sebelum bergegas ke Kimanis.


Mengenai perbezaan posting Bossku dengan yang lain, Najib berkata, jenama tersebut berasaskan fakta dan data serta angka yang tidak boleh disangkal.

“Kalau ada isu ekonomi, tengok posting saya sebagai sumber rujukan utama.
“Maknanya apabila bina branding, posting saya lebih popular, macam kereta lah kalau kita tahu kereta jenama yang baik, kita mempunyai market share kukuh sepanjang masa.

“Kalau kata Mercedes (Benz) dikaitkan dengan kualiti, sampai sepanjang zaman pun orang nak kereta Merz. Alhamdulillah, branding saya berdasarkan fakta, mereka suka. Tapi ada juga sindiran, perlu trolling, kalau tak boring nanti,” katanya.

Ditanya bagaimana hendak mengekalkan momentum Bossku agar segar sepanjang masa, kata beliau:

“Selagi saya dapat memperlihatkan persona Najib… masalah dulu adalah persona Najib sebagai Perdana Menteri sebab sebagai Perdana Menteri, saya ‘dikongkong’ kerana protokol atau kawalan UTK, memang ada pagar secara prinsipal atau bukan prinsipal, antaranya tempat duduk ditentukan siapa duduk sebelah kanan, kiri saya.

“Itu tak boleh dielakkan dengan jawatan saya. Begitulah juga presiden Amerika Syarikat …itulah kaedah yang perlu sebagai ketua kerajaan,” katanya.

Namun kata bekas Perdana Menteri itu, apabila beliau tidak lagi menjadi ketua kerajaan, rakyat melihat “Najib sebagai manusia yang real Najib, persona Najib tak banyak beza sehingga boleh lepak dan makan dengan mereka”.

“Ini sebabnya gelombang Bossku sampai sekarang masih boleh bertahan,” kata beliau.

Ditanya mengapa semasa menjadi Perdana Menteri, pendekatan Bossku tidak pula dipraktikkan, kata Najib:

“Dahulu, saya fikir hanya menjalankan tanggungjawab saya sebagai ketua kerajaan.

“Masa dan tenaga saya fokus untuk memimpin negara, selesaikan masalah rakyat dan sebagainya. Jadi, saya kurang beri perhatian. Itu mungkin saya sedar waktu itu lakukan yang baik sudah cukup, boleh atasi kebatilan, fitnah.

“Namun rupanya tidak, orang tetap termakan fitnah dan lupa kebaikan yang kita buat.” -SM

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button