fbpx
BeritaNasionalPendidikan

Pengetua didakwa terlibat pengantunan seksual dikeluarkan daripada sekolah

PENGETUA cemerlang sebuah sekolah di Johor Bahru yang didakwa terbabit aktiviti pengantunan seksual membabitkan pelajar sekolah itu sudah “dikeluarkan” daripada sekolah berkenaan, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Beliau berkata, pengetua terbabit kini ditempatkan di sebuah Pejabat Pendidikan Daerah sementara siasatan dijalankan oleh kementerian.

Katanya, tindakan itu diambil bagi memastikan suspek tidak mengganggu mangsa atau pelajar lain semasa siasatan berlangsung.

“Saya hendak menegaskan di sini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memandang serius tentang tuduhan (dakwaan) tersebut dan kami perlu pastikan bahawa sekolah adalah tempat yang selamat untuk anak-anak kita.

“Saya harap sesiapa yang ada maklumat, bukan saja tentang kes ini tetapi untuk kes-kes yang lain agar segera membuat laporan. Kita tidak mahu ada kes yang kononnya disembunyikan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan persekolahan SWM Environment Sdn Bhd kepada 40 murid B40 di Sekolah Murni Jaya, Kulai hari ini.


Nie Ching berkata, demikian ketika diminta mengulas dakwaan seorang pengetua sebuah sekolah menengah di Johor Bahru, yang baru-baru ini menerima anugerah pengetua cemerlang, terlibat dalam aktiviti pengantunan seksual dengan pelajar lelaki sekolah itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, mengikut maklumat yang diterima minggu lepas, pelajar yang dikatakan menjadi mangsa belum lagi membuat laporan polis.

“Saya harap kalau mangsa belum buat (laporan polis), buatlah,” katanya.

Berhubung kes jangkitan influenza A di sekolah, Teo berkata, KPM akan mengikut nasihat daripada Pejabat Kesihatan Daerah berhubung keperluan menutup sekolah.

Beliau berkata, setakat ini, hanya dua kelas di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Li Hwa Butterworth, Pulau Pinang sahaja telah ditutup mulai 8 Jan lepas setelah lima muridnya disahkan positif influenza A.

“Kementerian Kesihatan merupakan pakar dalam bidang ini. Mereka akan membuat penilaian sama ada terdapat keperluan untuk menutup sekolah atau tidak,” katanya.

— BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button