Sukan

Kebenaran tidak boleh disembunyikan – Maguire

“Kebenaran tidak boleh disembunyikan.” Itu kata Harry Maguire, selepas dia didapati bersalah kerana merasuah dan melakukan serangan sewaktu terbabit dalam pergaduhan di Mykonos.

Kapten Manchester United, berusia 27 tahun itu bagaimanapun berjaya mengelak daripada dipenjara dan dia hanya perlu membayar denda selepas didapati bersalah di atas semua kesalahan oleh Mahkamah Greece.

Maguire mendakwa, dia merupakan mangsa selepas sabitan dikenakan ke atasnya dan ekoran keputusan tersebut, pemain itu telah digugurkan daripada skuad England menjelang perlawanan menentang Iceland dan Denmark, umum pengurus, Gareth Southgate, hari ini.

Pada awal pagi ini, bintang United itu telah mengeluarkan satu kenyataan menerusi Instagram: “Tiga perkara yang tidak boleh lama disembunyikan: matahari, bulan dan kebenaran – Buddha.”

Adik perempuannya, Daisy turut memuat naik mesej yang sama selang beberapa jam selepas hukuman tersebut disabitkan.

Maguire, semalam, mengesahkan dia akan membuat rayuan berhubung hukuman tersebut dalam satu kenyataan yang menyifatkan dia dan keluarganya adalah ‘mangsa’.

Pemain itu dalam kenyataannya berkata: “Berikutan pendengaran kes, saya telah mengarahkan pasukan perundangan saya secepat mungkin memaklumkan mahkamah yang kami akan mengemukakan rayuan.

“Saya menegaskan dan yakin bahawa kami tidak bersalah dalam perkara ini, saya, keluarga dan juga sahabat saya merupakan mangsa. #MUFC”.

Protes yang dibuat Maguire itu telah dinafikan sepenuhnya oleh seorang peguam yang mewakili dua daripada enam anggota polis yang terlibat dalam kes itu apabila menyelar pemain pertahanan tersebut sebagai ‘memalukan’ dan menuduhnya ‘sengaja mengada-adakan cerita’.

Ioannis Paradissis berkata kepada MailOnline: “Maguire dan rakan-rakannya telah mereka-reka cerita tentang adiknya diserang lelaki Albania.

“Saya tidak pernah mendengar kisah mengarut ini. Ia sesuatu yang memalukan bagi menutup tingkah laku buruk mereka dan menghina orang Albania serta polis Greece.

“Dia sepatutnya berasa malu dan perlu kembali ke Greece bagi membuat permohonan maaf.”

Keputusan mahkamah itu sudah cukup menjejaskan karier Maguire bersama kelabnya dan bakal berdepan pelucutan jawatan sebagai ketua pasukan.

Kariernya bersama skuad kebangsaan England turut terjejas, setelah Gareth Southgate menggugurkan pemain itu daripada pasukan menjelang perlawanan Liga Negara-Negara Eropah selepas beberapa jam menyenaraikan nama pemain itu. – SM

(Visited 125 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button