Bola SepakSukan

Oliver Buff perkukuhkan bahagian tengah skuad Red Giants

BEKAS pemain tengah skuad remaja kebangsaan Switzerland, Oliver Buff menjadi pemain import terbaharu menyertai Red Giants setelah pengumuman rasmi dibuat semalam bagi mengharungi persaingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2021.

Menurut laporan yang dipetik laman web Selangor FC, pemain berusia 28 tahun yang berasal dari Baden, Switzerland itu pernah membarisi skuad remaja Bawah-15 tahun dan B-21 tahun serta turut menerima pendedahan beraksi dalam beberapa kejohanan antarabangsa termasuk menyertai temasya Sukan Olimpik 2012 di London.

Buff juga pernah menjulang kejuaraan Piala Dunia B-17 bersama skuad remaja Switzerland pada 2009.

Mesra dengan panggilan Oli, di peringkat kelab dia pernah menyarung jersi pasukan remaja FC Zürich di Switzerland dari tahun 2007 dan berjaya melakukan debut untuk pasukan utama kelab gergasi negara kelahirannya itu pada pertengahan 2010.

Oliver juga merupakan salah seorang tonggak utama pasukan FC Zürich sewaktu membantu kelab itu menjulang Piala Swiss untuk dua penggal berturut-turut iaitu musim 2013/14 dan 2015/16.

Berdasarkan informasi dalam laman web transfermarkt.com, pemain itu telah membuat sebanyak 217 penampilan dan menjaringkan 28 gol serta 31 bantuan untuk kelab tersebut.

Pada  2017, Oliver mengorak langkah berani apabila dia berhijrah ke Sepanyol untuk menyertai kelab divisyen 2, Real Zaragoza dan melakukan sebanyak 41 penampilan sepanjang dua tahun bersama kelab tersebut.

Pemain serba boleh itu terus melebarkan sayapnya apabila menyertai kelab Anorthosis Famagusta yang merupakan pasukan divisyen satu Cyprus sebelum kembali ke Switzerland bersama kelab divisyen 2, Grasshopper untuk semusim.

Selangor FC merupakan kelab Asia pertama buat Oliver dan dia berpendapat, ini merupakan peluang terbaiknya untuk mengembangkan karier bola sepak di Malaysia.

“Saya mendapat panggilan telefon dari ejen mengenai projek di Malaysia bersama Selangor FC dan saya sempat bercakap bersama ketua jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel dan Pengarah Teknikal Red Giants, Michael Feichtenbeiner mengenai rancangan mereka.

“Dari minit pertama lagi saya benar-benar yakin bahawa saya ingin menjadi sebahagian daripada keluarga Merah Kuning.

“Rancangan Selangor FC untuk kembali melakar kegemilangan membuatkan saya yakin bahawa ini akan menjadi tempat terbaik untuk saya mengembangkan karier bola sepak di negara yang indah ini,” kata Oliver.

Sebelum mengakhiri temu bual, Oliver sempat menyatakan hasratnya untuk membawa Selangor FC kembali meraih kemenangan.

Meskipun misi itu bukan perkara yang mudah, dia tetap yakin semua pemain, barisan jurulatih dan pihak pengurusan Red Giants sedang berusaha untuk mencapai matlamat yang sama.

Sementara itu, pengendali Selangor FC, Neitzel telah lama meminati bakat yang dimiliki Oliver dan dia dia sentiasa mengikuti perkembangan pemain itu dari semasa ke semasa.

“Saya belum pernah bekerjasama dengan Oliver. Suatu ketika dahulu, semasa dia masih pemain muda di FC Zürich, Oliver telah menarik minat saya untuk membawanya masuk ke pasukan lama saya di Jerman.

“Walaupun hasrat itu tidak kesampaian, sejak dari hari itu saya mengikuti perkembangannya sehingga kini,” ujarnya.

Menurutnya, Oliver adalah seorang pemain yang mempunyai ketenangan, mampu membaca permainan dan berkebolehan beraksi dengan baik dalam merencana serangan serta membantu pertahanan pasukan.

“Dia juga mampu menjadi teladan kepada pemain-pemain muda yang lain. Saya harap dia mampu menunjukkan kualiti yang kita harapkan,” jelas Neitzel.

Oliver merupakan pemain terbaharu kelima yang diperkenalkan membarisi pasukan utama selepas Selangor FC sebelum ini memperkenalkan Shahrel Fikri, Tim Heubach, R. Dinesh dan Nik Sharif. – SM

(Visited 154 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button