fbpx
Sukan

Atlet negara teruja kembali ke Bukit Jalil

BEBERAPA atlet negara melahirkan rasa syukur dapat kembali menjalani latihan fizikal seperti biasa di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, sebagai persediaan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada tahun depan.

Ratu terjun negara, Pandelela Rinong berkata beliau gembira dapat kembali meneruskan latihan di Pusat Akuatik Nasional setelah terpaksa menjalani latihan ringan di rumah susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac lalu.

“Saya lega dan gembira dapat kembali ke persekitaran asal (latihan fizikal di Bukit Jalil), dan tak sabar untuk mulakan latihan.

“Sudah hampir tiga bulan saya tidak terjun, jadi saya rasa latihan perlu dijalankan segera bagi mendapatkan rentak terjunan sebelum menghadapi Sukan Olimpik pada tahun depan,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Pada masa sama, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu menjelaskan beliau sedia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk mengehadkan pergerakan di sekitar Bukit Jalil, jarakan sosial satu meter serta penggunaan pencuci tangan bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.


Berkongsi pandangan sama adalah pemanah para negara, S. Suresh yang gembira dapat menjalani latihan fizikal di Padang Memanah Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, setelah terpaksa mengehadkan sesi latihan di kawasan rumah susulan pelaksanaan PKP pada Mac lalu.

“Sebelum ini, saya sekadar menjalani latihan menggunakan tali getah dan sebagainya di rumah, tapi apabila MSN panggil saya kembali menjalani latihan seperti biasa, perasaan saya amat teruja.

“Jurulatih (Marzuki Zakaria) masih belum memaklumkan mengenai corak latihan, namun saya sedia mematuhi SOP yang dikeluarkan pihak terlibat bagi mengelakkan jangkitan Covid-19,” jelas anak jati Kedah itu.

Seramai 142 atlet, pegawai sukan dan staf sokongan dari MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) melapor diri untuk kem latihan pusat program Road to Tokyo (RTT) 2020 di Bukit Jalil yang bermula hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Timbalannya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut meluangkan masa meninjau kem latihan pusat berkenaan. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button