Ekonomi

Malaysia alu-alukan pelancong kesihatan dari Asia Barat untuk mendapat pengalaman berkualiti dan cemerlang

PENJAGAAN kesihatan Malaysia terus mempamerkan kecemerlangannya semasa Minggu Kecemerlangan Penjagaan Kesihatan Malaysia yang berlangsung dari 3 – 8 Januari 2022 di Pavilion Malaysia, Ekspo 2020 Dubai.

Ia membabitkan penyertaan ramai penggiat industri dan pembekal perkhidmatan terkemuka negara seperti Hospital Thomson Kota Damansara, Pusat Pakar Kesuburan dan Wanita TMC, DoctorOnCall serta Pharmaniaga, syarikat farmaseutikal terbesar Malaysia.

Minggu Kecemerlangan Penjagaan Kesihatan Malaysia dirasmikan dengan pelancaran Malaysia sebagai Hab Asia bagi rawatan Hepatitis C di ekspo tersebut.

Kedudukan Malaysia sebagai hab rawatan bagi Hepatitis C adalah sejajar dengan misi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mengurangkan jangkitan virus Hepatitis baharu sebanyak 90% dan mengurangkan kadar kematian akibat virus Hepatitis sebanyak 65% menjelang tahun 2030.

Melalui rawatan gabungan Ravidasvir dan Sofosbuvir, Malaysia akan menawar rawatan Hepatitis C dengan kadar penyembuhan sebanyak 97% dan pengurangan kos sebanyak 95%, secara langsung menjadikan Malaysia negara pertama di dunia yang menerima kelulusan bersyarat untuk menggunakan rawatan itu.

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada pelan pemulihan kami bagi industri pelancongan kesihatan di Malaysia. Kami berhasrat untuk menjadi pusat tumpuan global bagi rawatan Hepatitis C. Sebagai tindak balas kepada Hari Hepatitis Sedunia 2021 yang bertemakan,

“Hepatitis Can’t Wait” (Hepatitis Tidak Menunggu), Malaysia sedia untuk memajukan penyelesaian rawatan bagi mereka yang dijangkiti penyakit ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) Mohd Daud Mohd Arif.

“Dengan komitmen berterusan kami terhadap kecemerlangan, keselamatan dan kualiti, kami bersedia untuk memberikan rawatan kepada pelancong kesihatan dari seluruh dunia, terutamanya pasaran Timur Tengah, dan Ekspo 2020 Dubai adalah platform yang terbaik bagi mempamerkan kekuatan Malaysia sebagai destinasi penjagaan kesihatan terkemuka,” tambahnya.

Pemulihan Industri Melalui Perkongsian Majlis perasmian itu juga menyaksikan MHTC menerima perkongsian dan kerjasama baharu yang merupakan pengubah keadaan (game changer).

Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani di Pavilion Malaysia dengan penggiat industri terkemuka seperti International Assistance Sdn Bhd (IASB) dan HADID International Services (HADID).

Perkongsian ini akan membolehkan industri memperolehi saluran pelanggan baharu sambil membina kehadiran jenama bagi Penjagaan Kesihatan Malaysia di kedua-dua pasaran Timur Tengah dan ASEAN.

“Setelah berjaya mengharungi pandemik sepanjang 18 bulan yang lalu, kami menyedari betapa pentingnya pembentukan perkongsian strategik untuk memangkin pemulihan industri menuju ke tahun 2022. Adalah penting bagi penjagaan kesihatan Malaysia untuk mengenal pasti dan berganding bahu dengan rakan kongsi yang mempunyai sistem nilai dan komitmen yang sama ke arah kecemerlangan perkhidmatan dan menegakkan standard keselamatan. “

“Justeru, adalah satu penghormatan bagi Malaysia Healthcare untuk bekerjasama dengan IASB dan HADID kerana kami bersama-sama menyediakan akses kepada pengalaman pesakit yang selamat, dipercayai, bertaraf dunia dan lancar untuk pelancong kesihatan,” sambung Mohd Daud.

Terkenal dengan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf dunia yang boleh diakses dengan mudah dan mampu berdaya saing, Malaysia terus memperkukuhkan tawaran penjagaan kesihatannya dan juga kedudukannya sebagai Hab Kesuburan dan kardiologi Asia, Pusat Kecemerlangan Penjagaan Kanser dan Hab Rawatan Hepatitis C di Asia.

Turut mewakili Minggu Penjagaan Kesihatan Malaysia di Expo 2020 Dubai ialah antara dua hospital terkemuka dalam rawatan kesuburan iaitu Hospital Thomson Kota Damansara dan TMC Fertility (Pusat Kesuburan TMC).

TMC Fertility akan mempamerkan kemajuannya dalam teknologi genetik melalui program saringan Fertility GeneCode, yang berfungsi untuk mempercepatkan rawatan kesuburan IVF.

Mengulas mengenai perkara ini, Ketua Pegawai Eksekutifnya Irene Kwan berkata: “Dengan mengguna dan memperkenalkan penyelesaian inovatif bagi rawatan kesuburan IVF, kami dapat mengurangkan keperluan kitaran berulang yang menyumbang kepada pengalaman dan keputusan positif bagi pesakit kami.

“Komitmen terhadap penjagaan dan inovasi yang berkualiti ini merupakan sebab mengapa TMC Fertility kekal sebagai penyedia perkhidmatan kesuburan yang utama di rantau ini.”

Malaysia telah diiktiraf sebagai "Destination of the Year" oleh International Medical Travel Journal (IMTJ) bagi empat tahun (2015, 2016, 2017, dan 2020) dan "Negara Terbaik di Dunia untuk Penjagaan Kesihatan" berdasarkan Indeks Global Persaraan International Living dari tahun 2015 hingga 2021.

Peserta perniagaan Ekspo 2020 Dubai boleh melawat Pavilion Malaysia mulai hari ini hingga 8 Januari 2022 bagi Minggu Kecemerlangan Penjagaan Kesihatan Malaysia, yang merupakan sebahagian daripada program perdagangan dan perniagaan bertema mingguan Pavilion Malaysia di ekspo dunia ini.

(Visited 220 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button