fbpx
Politik

Karim Bujang calon WARISAN di Kimanis

PARTI Warisan Sabah (WARISAN) mengumumkan Ketua Bahagian WARISAN Kimanis, Datuk Karim Bujang sebagai calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Pengumuman dibuat Ketua Menteri yang juga Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada pelancaran jentera parti itu di Membakut, petang ini.

Mohd Shafie menjelaskan pemilihan itu mengambil kira sokongan rakyat dan usaha Karim memfailkan petisyen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRK-14) bagi kawasan berkenaan pada tahun lalu.

“Tidak mungkin ada PRK kalau bukan Datuk Karim Bujang. Jadi calonnya ialah Karim,” katanya.

Karim yang tewas 156 undi di tangan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman pada PRU-14 memfailkan petisyen pilihan raya pada 2018.

Mahkamah Khas Pilihan Raya pada Ogos lalu memutuskan keputusan PRU-14 bagi Parlimen Kimanis tidak sah dan batal sebelum dikekalkan Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan Anifah pada awal bulan lalu.


Mohd Shafie berkata, pemilihan Karim baru diputuskan hari ini selepas mengambil kira pengalaman dan perjuangan beliau di kawasan Kimanis.

“Beliau seorang tokoh berpengalaman yang tidak pernah kalah dalam pilihan raya. Dia berjaya bawa PRK selepas membuat petisyen PRU lalu, jadi maknanya dia tidak kalah.

“Dari segi pengalaman, dia memang sesuai dan kita memerlukan seorang wakil rakyat mewakili masyarakat Brunei yang berani bersuara di Parlimen,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Sabah P176 pada 18 Januari 2020.

Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun sebentar tadi berkata, penamaan calon telah ditetapkan pada 4 Januari (Sabtu) manakala tarikh mengundi awal ialah pada 14 November (Selasa).

Sementara itu, Karim menyifatkan pencalonannya sebagai satu tanggungjawab yang perlu diterjemahkan kepada kemenangan untuk parti.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan WARISAN yang memberi kepercayaan, bagi saya ia adalah satu tanggungjawab.

“Terima kasih juga kepada semua parti komponen Pakatan Harapan (PH) dan rakan kita daripada Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) yang memberikan sokongan.

“Ia adalah satu kepercayaan yang amat saya hargai dan kita harap ia dapat menjadi kemenangan yang menjanjikan masa depan cerah kepada kita di Kimanis,” katanya.

Karim pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan selama beberapa penggal ketika dalam UMNO sebelum digugurkan pada PRU-13 apabila UMNO meletakkan Datuk Mohamad Alamin sebagai calon.

Mohamad yang kini Ketua UMNO Kimanis diumumkan sebagai calon parti itu bagi PRK Kimanis, semalam.

Show More

Related Articles

Back to top button