Politik

Syed Saddiq kongsi keputusan ROS tolak pendaftaran Muda, kata Shafie

PERJUMPAAN salah seorang pengasas Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hanyalah untuk berkongsi berkaitan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menolak pendaftaran MUDA dan Pejuang.

Perkara tersebut ditegaskan oleh Shafie dalam media sosialnya selepas Syed Saddiq berkongsi foto pertemuan kedua-dua mereka di Facebooknya.

Menurut Shafie, sepatutnya penglibatan golongan pemuda dalam apa juga bidang termasuk politik tidak harus dinafikan oleh mana-mana pihak.

“Menerima kunjungan YB Syed Saddiq ke rumah baru-baru ini. Beliau sebagai wakil generasi anak MUDA berkongsi berkenaan keputusan ROS yang tidak meluluskan pendaftaran Parti MUDA dan juga Pejuang.

“Dunia pada hari ini tidak boleh menafikan keberadaan dan juga penglibatan anak-anak muda dalam apa jua bidang, baik dari segi ekonomi mahupun politik,” kata Shafie.


Terdapat media yang membuat spekulasi kononnya perjumpaan Syad Saddiq dengan Shafie untuk membincangkan penyerapan ahli MUDA ke dalam parti Warisan. Ini selepas RoS enggan mendedahkan sebab utama mengapa pendaftaran MUDA tidak diluluskan.

Menurut laporan itu, dengan desas-desus pilihan raya umum akan diadakan seawal penggal pertama tahun ini, MUDA pasti memikirkan cara terbaik untuk terus relevan, termasuk kemungkinan bertanding di bawah lambang parti sedia ada.
Perjumpaan Syed Saddiq dengan Shafie menimbulkan persepsi, itu mungkin pilihan yang terbaik.

Sementara itu, Shafie mendoakan agar urusan pendaftaran MUDA sebagai sebuah parti politik yang sah akan dipermudahkan.

“Saya doakan supaya segala urusan anak MUDA ini dipermudahkan oleh Allah SWT dan Malaysia harus terus menjadi negara yang berdaya saing khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan dan juga teknologi,” katanya.

Dalam pertemuan itu kedua-dua mereka turut berkongsi pendangan bagaimana golongan muda dan bakat lama boleh melengkapkan antara satu sama lain agar Malaysia lebih maju ke hadapan.

“Kepelbagaian etnik, kaum, bangsa dan juga agama di Malaysia menjadi antara topik yang beliau dan saya kongsi, tentang bagaimana keseimbangan penglibatan diantara bakat-bakat baru dan lama harus di ambil kira supaya idea-idea dan cadangan serta pengalaman dapat dijadikan panduan untuk kita terus maju ke hadapan,” kata Shafie.

Permohonan MUDA untuk menubuhkan sebuah parti politik ditolak tanpa sebab oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) awal bulan ini.

MUDA memaklumkan, penolakan pendaftaran parti itu disampaikan melalui satu emel setelah hampir empat bulan menghantar permohonan.-SM

 

 

 

 

 

(Visited 119 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button