NasionalpilihanTravel

Jabatan Warisan Negara rasmikan Galeri Warisan Kota Melaka serta lancarkan Buku Warisan Kebangsaan Orang Hidup

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Warisan Negara (JWN), hari ini merasmikan Galeri Warisan Kota Melaka (GWKM) yang terletak di Jalan Kota, Banda Hilir, Melaka. Majlis ini telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Bagi merealisasikan penubuhan GWKM, Kerajaan Persekutuan menerusi MOTAC telah membelanjakan sejumlah RM 10 juta bagi pelaksanaan projek ini meliputi kos pemuliharaan keseluruhan bangunan dan penyediaan pameran.

Pembukaan GWKM ini adalah bertujuan untuk memelihara dan memartabatkan warisan yang ada di negeri ini, sesuai dengan matlamat penubuhan Jabatan Warisan Negara (JWN) selain merupakan salah satu langkah untuk memperkenalkan produk pelancongan baharu berteraskan pelancongan arkeologi (archaeology tourism) dan menjadi pusat rujukan kajian arkeologi khususnya di negeri Melaka.

Menurut Datuk Seri Dr. Santhara J.P., Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, JWN sentiasa berusaha untuk menyelamatkan tinggalan warisan arkeologi yang terdapat di negara ini kerana ia menyimpan rekod sejarah yang berharga selain ia mampu memberikan manfaat ekonomi menerusi pelancongan warisan.

Pemerkasaan sektor pelancongan dan perlindungan terhadap warisan perlu dijalankan secara lestari bagi memastikan kedua-dua elemen ini dapat terus dimanfaatkan kepada pembangunan negara.

Sehingga kini, JWN telah mewujudkan sebanyak tiga (3) buah galeri iaitu Galeri Melayu Pulau Pinang (GMPP), Galeri Arkeologi Lembah Lenggong (GALL) dan Galeri Warisan Kota Melaka (GWKM) yang merupakan galeri terbaharu dibawah seliaan JWN.

Dalam majlis yang sama, JWN turut melancarkan sebuah buku Warisan Kebangsaan Orang Hidup (WAKOH), hasil penyelidikan JWN yang telah diwartakan dibawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645].

Sejumlah 27 orang tokoh yang terdiri pakar- pakar daripada pelbagai bidang seni budaya telah didokumentasikan di dalam buku WAKOH tersebut. Antara tokoh yang terdapat dalam buku WAKOH ini ialah YBhg. Datuk Mohd Baharim bin Mohd Sharip yang merupakan tokoh Dondang Sayang.

Turut dilancarkan ialah kempen “Kenali, Sayangi dan Lestari Warisan Kita” anjuran JWN. Kempen ini antara lain bertujuan untuk mengajak seluruh Keluarga Malaysia dan juga pelancong luar negara agar dapat lebih mengenali khazanah warisan negara dengan lebih dekat, menimbulkan rasa cinta dan sayang kepada warisan seterusnya bersama-sama berganding bahu untuk memeliharanya.

Antara lain-lain pengisisan sepanjang 3 hari program ini ialah seperti mencatatkan rekod baharu dalam senarai Malaysia Book of Records dengan memperkenalkan kepelbagaian seni anyaman ketupat dan meningkatkan kreativiti serta inovasi dalam penghasilan ketupat.

Di samping itu juga, demo jualan makanan warisan oleh komuniti masyarakat di negeri Melaka serta eksplorasi warisan yang akan melibatkan penglibatan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPTA) sekitar negeri Melaka khususnya.

MOTAC berharap agar usaha melestarikan warisan ini mendapat kerjasama, sokongan dan penghayatan dari segenap masyarakat dalam memastikan warisan budaya terus dimartabatkan dan kekal menjadi identiti rakyat Malaysia. – SM

Artikel berkaitan > Karnival Kerjaya Pelancongan 2022 tawar lebih 1,000 peluang pekerjaan

(Visited 699 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button