Nasionalpilihan

RM22 juta diperuntukan bagi projek jalan masuk ke beberapa SRK di Serian, Wilayah Sarawak

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan sejumlah RM221.45 juta pada tahun 2022 bagi meningkatkan dan membina rangkaian jalan luar bandar di Sarawak.

Manakala sejumlah RM115 juta pula diperuntukkan bagi projek jalan perhubungan desa dan jalan ladang pertanian di Wilayah Sarawak.

Ketua Setiausaha, Dato’ Ramlan Harun berkata, menerusi peruntukan yang diperolehi pada tahun 2022 Rancangan Malaysia ke-12 ini membolehkan KPLB terus mempergiatkan kemudahan perhubungan jalan luar bandar di seluruh Sarawak.

“KPLB telah memperuntukkan sejumlah RM22 juta bagi pembinaan Projek Jalan Masuk Ke SRK Prangkaan – SRK Buguh – SRK Beruan dengan skop projek menaik taraf jalan sepanjang 13.5 KM dengan piawaian JKR R1 dan membina 3 buah jambatan.


Projek ini telah bermula pada 13 Januari 2022 dan dijangka siap pada 12 Januari 2024 dengan jangkaan siap dalam tempoh 24 bulan.

“Projek ini akan memberi manfaat kepada 2,400 penduduk di kawasan tersebut terutamanya kepada pelajar dan guru di SK Philip Beguh.

Ramlan menambah, projek ini dapat menjimatkan masa perjalanan daripada 2 jam kepada 45 minit untuk pergi ke bandar berdekatan.

Pada masa kini penduduk kawasan tersebut masih lagi bergantung kepada pengangkutan sungai untuk ke bandar berdekatan.”

Ramlan berkata demikian semasa Lawatan Kerja Projek Prasarana Luar Bandar di daerah Serian di sini hari ini.

KPLB berharap dengan pembinaan dan kerja-kerja menaik taraf ini juga membantu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih seimbang di kawasan luar bandar selaras Aspirasi Kampung Sejahtera dan Dasar Pembangunan Luar Bandar.

Beliau menambah, pihaknya akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Wilayah Sarawak dalam memastikan peruntukan yang disalur dapat membolehkan projek-projek dilaksanakan dengan segera bagi memenuhi keperluan infrastruktur luar bandar.  – SM

Artikel berkaitan > KPLB sedia pelbagai aktiviti usahawan di MAHA 2022

(Visited 55 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button