Nasionalpilihan

Makcik Kemboja, anak lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Melaka esok

MARIYAH Yaakob atau lebih dikenali sebagai Makcik Kemboja, 47, yang juga pemilik syarikat jahitan pukal Mariyah Holdings Sdn. Bhd. yang tular satu video dia menyelar orang Melayu malas baru-baru ini akan didakwa di Mahkamah Majistret Melaka, pagi esok.

Turut didakwa, Pengarah Mariyah Holdings yang juga anak lelaki Makcik Kemboja, Ezuan Hafsham Mohd. Hisyam, 22.

Arahan untuk menuduh Makcik Kemboja di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan anak lelakinya pula dituduh di bawah Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Terdahulu, polis telah merakam percakapan ahli perniagaan wanita itu yang merupakan warga Kemboja.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, Polis Melaka telah melengkapkan siasatan berkenaan kes wanita warga Kemboja itu yang mendakwa  orang Melayu malas.

Menurutnya, Mariyah hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada 21 November lalu dan siasatan dikendalikan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Melaka.

Beliau berkata, sehingga kini polis telah menerima sejumlah 25 laporan yang dibuat pelbagai pihak.

“Jabatan Siasatan Jenayah Melaka telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Zainol berkata, seramai lapan individu turut dipanggil bagi membantu siasatan dan dirakam percakapan.

JSJ negeri telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan sesuatu kaum.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Usahawan warga Kemboja yang juga pempengaruh media sosial itu membuat permohonan maaf berkenaan pada sidang media di Skudai, Johor baru-baru ini susulan video tular berhubung kenyataannya yang mengaitkan Melayu malas sehingga mencetuskan kontroversi dan kemarahan orang ramai. – SM

BACA Raja Muda Perlis berkenan beramah mesra warga Malaysia di Kemboja

(Visited 114 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button