Nasional

Pesawat Beechcraft B 200T lakukan pendaratan cemas di Subang – TUDM

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)  mengesahkan sebuah pesawat Beechcraft B 200T miliknya melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang petang ini.
Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian berkenaan dan  memaklumkan bahawa semua empat anak kapal pesawat itu selamat dan tidak mengalami kecederaan.
Menurut kenyataan itu, kejadian berlaku semasa pesawat dari 16 Skuadron yang berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada 11.27 pagi, sedang melaksanakan latihan penerbangan.
“TUDM akan menubuhkan pasukan penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Datuk Norazman Mahmud dalam kenyataan berkata juruterbang pesawat berkenaan telah memaklumkan Menara Kawalan Trafik Udara (ATC) Subang mengenai masalah gear pendaratan dan meminta bantuan untuk mendarat.
“Menara ATC kemudian memaklumkan kepada Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang Subang bagi mengaktifkan Pelan Kecemasan Lapangan Terbang dan menyediakan bantuan kecemasan kepada pesawat semasa mendarat,” katanya.
Beliau berkata pesawat berkenaan dalam proses dialihkan dan landasan lapangan terbang dijangka dibuka semula untuk beroperasi pada 5 petang.
Menurutnya siasatan dilaksanakan mengikut Bahagian XXVI Peraturan Penerbangan Awam 2016. – SM
(Visited 70 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button