Nasional

257 calon SPM 2021 di Melaka capai semua A

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 16 Jun – Melaka terus mencatatkan rekod cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
2021 merekodkan Gred Purata Negeri (GPN) 4.83 sekali gus mengatasi Gred Purata Nasional 4.86.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin pada Majlis
Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM 2021 di Sekolah-Sekolah Melaka di Bukit Baru di sini, hari ini.

Rais berkata, seramai 257 calon SPM memperoleh gred cemerlang semua A dalam semua pelajaran yang diambil
mereka.

Menurutnya, keputusan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 2.3 peratus berbanding SPM 2020 yang
menyaksikan hanya 215 pelajar atau 1.88 peratus yang memperoleh kesemua A.

Beliau berkata, pada SPM 2021 merekodkan seramai 13,134 calon SPM berbanding 13,464 pelajar pada tahun
2020.

“Ini menunjukkan pencapaian yang membanggakan dan tentu sekali ia adalah kerana hasil usaha serta komitmen
yang tinggi semua pihak.

“Daripada 11,165 pelajar sekolah kerajaan yang menduduki peperiksaan seramai 10,197 atau 91.3 peratus
berjaya mendapat siijl SPM berbanding 10,330 pada SPM lalu.

“Dua calon turut meraih semua A+ dalam mata pelajaran yang diambil dan sebanyak 17 buah sekolah pula
merekodkan mencapai 100 peratus layak mendapat sijil,” ujarnya.

Sementara itu kata Rais, sebanyak tujuh sekolah menengah agama di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam
Melaka (JAIM) mencatat prestasi membanggakan apabila kesemua pelajar yang menduduki Sijil Peperiksaan
Malaysia (SPM) 2021 layak mendapat sijil.

Menurutnya, terdapat satu sekolah yang berjaya melahirkan pelajar cemerlang dengan mendapat keputusan A
dalam semua mata pelajaran.

Beliau berkata, kejayaan yang dilakar itu menunjukkan daya saing sekolah-sekolah agama tidak jauh berbeza,
malah lebih baik berbanding sekolah-sekolah aliran konvensional yang lain.

“Daripada 44 buah sekolah yang mempunyai pelajar A dalam semua mata pelajaran, salah satunya adalah
sekolah agama di bawah JAIM,” ujarnya.

(Visited 303 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button