Hiburan

Isu pemilikan nama Harimau Menangis, ibu Neelofa minta maaf

SELEPAS kecoh di laman sosial berkaitan dengan isu pemilikan nama daging ‘Harimau Menangis’, akhirnya satu kenyataan maaf telah dikeluarkan Aunty Tini Kitchen.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, syarikat yang diusahakan oleh ibu Neelofa iaitu Noor Kartini berkata, permohonan itu adalah cara untuk melindung produknya daripada ditiru pihak lain.

“Pihak kami ingin memaklumkan bahawa permohonan itu adalah untuk melindungi penggayaan, susun atur grafik, kod warna dan tulisan perkataan Harimau Menangis pada bungkusan produk tersebut.

“Tindakan itu bertujuan untuk mengelakkan sebarang produk tiruan dalam pasaran yang boleh menyebabkan masalah kepada jenama pihak kami dan pengguna di luar sana,” katanya dalam kenyataan tersebut.


Dalam pada itu, kenyataan itu juga memberitahu yang tiada larangan dikeluarkan terhadap mana-mana pihak yang menjual produk dengan nama yang sama.

Ujarnya, sesiapa sahaja boleh menjual daging harimau menangis asalkan tidak menyerupai bungkusan produk yang dipasarkan.

“Kami juga memohon maaf diatas kesilapan kata-kata yang digunakan dalam kandungan video yang tular di media sosial pada malam 12 Januari lalu,” katanya.

Pagi tadi, isu berkaitan dengan pemilikan nama itu menjadi tular kerana ibu Neelofa mahu memiliki nama ‘Harimau Menangis’ sebagai milik jenama produk Aunty Tini Kitchen yang diusahakannya.

Perkara itu menjadi isu kerana tindakan tersebut dilihat cuba menindas peniaga lain yang juga berniaga daging Harimau Menangis dalam pek segera.

Selain itu, satu video tular yang menayangkan Noor Kartini sedang memasak daging sambil memberitahu bahawa nama Harimau Menangis sudah tidak boleh digunakan orang lain juga menambahkan lagi kemarahan netizen. -SM

(Visited 325 times, 2 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button