Politik

Istana Negara sahkan Anwar mohon menghadap Agong

ISTANA Negara mengesahkan Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selasa lalu.

Bagaimanapun menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, majlis itu terpaksa ditangguhkan ekoran kegeringan Seri Paduka Baginda.

Menurut Ahmad Fadil, Anwar dijadual menghadap bersama isterinya Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

“Ketika ini, Al-Sultan Abdullah akan terus menjalani rawatan di bawah pengawasan para pakar perubatan di Institut Jantung Negara.

“Al-Sultan Abdullah menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tun Daim Zainuddin, para Jemaah Menteri Kabinet dan individu-individu termasuk Anwar yang telah mendoakan kesejahteraan Seri Paduka Baginda,” kata Ahmad Fadil.

Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan menasihati seluruh rakyat untuk bertenang dan menjaga kesihatan diri masing-masing dengan mematuhi prosedur operasi standard kerana negara masih menghadapi ancaman penularan wabak Covid-19.

“Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah bertitah kepada semua pihak untuk mengutamakan kesejahteraan rakyat dan negara yang kita cintai bersama semoga kita dikurniakan keberkatan daripada Allah SWT.

“Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga Malaysia terus dilindungi dari segala bentuk ancaman dan dikurniakan kemakmuran yang berpanjangan,” kata Ahmad Fadil.

Al-Sultan Abdullah dimasukkan ke Wad Diraja IJN pada Isnin lalu selepas Seri Paduka mengadu kurang selesa dengan kesihatan. Namun menurut Istana Negara, baginda tidak dalam keadaan yang membimbangkan.

Anwar dalam sidang akhbar mengumumkan bahawa mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, dia sebenarnya telah diperkenankan untuk mengadap Seri Paduka pada Selasa lalu, tetapi terpaksa ditangguhkan.

“Dengan sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan bermakna kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin telah jatuh.

“Maklumat dan langkah selanjutnya akan saya maklumkan selepas mengadap Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam masa yang terdekat, insya-Allah,” kata Anwar.-SM

 

(Visited 630 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button