Politik

Pilih tok penghulu pun mesti bermoral, apatah pemimpin negara – Muhyiddin

IPOH 14 Nov. – Lebih 4,000 orang hadir pada ceramah Jelajah Perikatan Nasional (PN BEST) di Pusat Perniagaan Meru Impian di sjni malam tadi walaupun dalam keadaan hujan.

Orang ramai yang hadir memberikan tepukan gemuruh dan sorakan ‘Abah’ sebaik Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba bersama para tetamu lain.

Antaranya calon PN Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Timbalan Pengerusi Bersatu dan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.

Sesi ceramah dan jelajah ini bagi memperkenalkan calon-calon PN negeri Perak yang bertanding pada kerusi Parlimen di Ipoh.

Muhyiddin dalam ucapannya berkata, berbaki lima hari menjelang pembuangan undi, rakyat di Perak perlu membuat pilihan yang tepat bagi memilih kerajaan terbaik untuk negara.

Katanya, beliau datang ke Ipoh untuk memberi sokongan kepada calon-calon PN, khasnya Ahmad Faizal yang akan berhadapan dengan Anwar Ibrahim, ketua Pakatan Harapan (PH).

“Bila mana kita nak menilai seorang pemimpin mesti ada nilaian-nilaian tertentu. Kalau nak jadi ketua kampung pun dinilai. Nak jadi tok penghulu dan pegawai kerajaan pun dinilai… nak jadi pegawai daerah juga ada nilaiannya.

“Apa lagi kalau ianya untuk menjadi seorang pemimpin utama negara… sebagai Perdana Menteri perlu dinilai terutama dari segi akhlak dan amanah supaya negara tidak rosak dan terjerumus ke dalam lubang yang paling dalam,” katanya.

“Kita tidak boleh salah membuat pilihan. Kita tidak mahu sejarah hitam berulang. Kita tidak mahu UMNO/BN, parti yang terpalit dengan isu kleptokrasi kembali.

“Kita juga tidak mahu PH kembali. Cukuplah 22 bulan yang cukup menekan dan menyeksakan.

“Ada beberapa contoh kes parti yang dipimpin oleh Anwar ini tidak langsung menghormati hak-hak Bumiputera, malah tindak-tanduk mereka menyanggah Perlembagaan dan hak kaum-kaum lain,’ ujarnya.

Tegas Muhyiddin, banyak lagi perkara tidak sepatutnya berlaku yang jika dibiarkan akan membawa musibah besar.

Lebih-lebih lagi jika pemimpin yang hendak dipilih itu tidak berakhlak.

“Justeru marilah kita beramai-ramai memastikan sekurang-kurangnya 90 peratus penduduk negeri ini keluar mengundi dan memenangkan Perak untuk PN.

“PN menawarkan manifesto yang diakui penganalisis politik lebih baik daripada ditawarkan PH dan BN.

“PN juga telah terbukti mampu menguruskan negara bukan sahaja krisis kesihatan malah ekonomi,” ujar beliau.

Katanya, dengan berkat usaha dan kerja keras serta doa ikhlas kita semua, PN mampu memenangi PRU-15 dan membentuk kerajaan setelah mendapat mandat rakyat.

 

(Visited 185 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button