Politik

Beduk biar kuat: Terima kasih semua pengundi PN-Muhyiddin

CABARAN tetap datang, yang penting iltizam untuk mengubah dan membetulkan apa yang perlu demi masa depan rakyat Malaysia.

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman berakhir dengan Perikatan Nasional (PN) menang besar di Padang Serai.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil kesempatan menerusi media sosial Facebook akaun beliau, mengucapkan terima kasih kepada para pengundi di Padang Serai dan Tioman yang telah memilih Perikatan Nasional.

Kata Muhyiddin, syukur ke hadrat Allah SWT kemenangan besar PN di Padang Serai dan kekalahan tipis di Tioman merupakan petanda positif sokongan padu rakyat kepada PN.

Muhyiddin berkata, kedua-kedua kerusi ini masing-masing dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam PRU 14 pada Mei 2018.

“Keputusan kedua-dua PRK ini menunjukkan rakyat tidak teruja dengan gabungan BN dan PH. Majoriti BN merosot hampir separuh di Tioman dan majoriti PN di Padang Serai meningkat dua kali ganda berbanding majoriti yang dimenangi oleh PH pada PRU 14,” jelas Muhyiddin.

Beliau berkata, ini adalah bukti rakyat tidak mempercayai gabungan PH dan BN.

“Mereka tidak yakin dengan kemampuan kerajaan campuran yang diterajui oleh PH ini untuk mentadbir negara,” jelas Muhyiddin lagi.

Memahami hati nurani rakyat, Muhyiddin berkata, kecewa dengan penipuan pemimpin PH dan BN semasa kempen PRU15, ramai penyokong kedua-kedua parti ini telah beralih arah menyokong PN.

“Bagi saya, penipuan PH dan BN dalam PRU15 adalah “the biggest electoral fraud ever” dan hari ini, pengundi di Padang Serai dan Tioman telah memberi isyarat jelas mereka tidak merestui tindakan kedua-dua parti ini,” tegas beliau.

Muhyiddin dalam catatannya di Facebook berkata, beliau mengucapkan tahniah kepada Cikgu Azman Nasrudin atas kemenangan cemerlang di Padang Serai.

“Kepada calon PN di Tioman, Puan Nuridayu Hashim, teruskan perjuangan anda bersama PN. Kita berada di landasan yang benar,” katanya.

Bekas Perdana Menteri ini juga berkata, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh jentera pilihan raya PN di Padang Serai dan Tioman atas komitmen dan kerja keras semua sepanjang tempoh berkempen. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button