Politik

PH runding gabungan parti hadapi PRN di enam negeri

PAKATAN Harapan (PH) akan mengadakan rundingan dengan gabungan parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang belum lagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, satu perbincangan akan diadakan dengan semua parti terbabit bagi membincangkan secara khusus menghadapi PRN di Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Tanpa mendedahkan butiran atau perkara tersebut, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri (KDN) menegaskan perbincangan tersebut perlu segera diadakan atau selewat-lewatnya awal tahun depan.

“Bagi menghadapi PRN nanti PH akan membuat persiapan awal dengan melaksanakan program jelajah ke enam negeri pada awal tahun depan bagi menghadapi pilihan raya di keenam-enam negeri berkenaan.

“Program ini akan bermula secepat mungkin kerana usaha kita untuk menang dalam membentuk Kerajaan Negeri seperti mana Kerajaan Perpaduan yang berjaya dibentuk.


“Paling penting kita cuba untuk mendekati pengundi bagi menyakinkan mereka untuk memilih Kerajaan Perpaduan yang berjaya dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Semarak Azam Baru 2023 ‘Dari Harapan Ke Perpaduan’ di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Machap Baru, malam tadi.

Hadir sama Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) merangkap Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu dan Ahli Parlimen Alor Gajah yang juga Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.

Mengulas lanjut Saifuddin berkata, dalam perbincangan dengan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli baru-baru ini, mereka memutuskan untuk memberikan tumpuan utama menghadapi PRN di sebalik menjalankan tugas di kementerian.

“Kami ada tugas hakiki iaitu menjadi sebahagian daripada pentadbiran jemaah menteri tetapi tugas penting juga mengadakan persiapan parti PKR dan PH untuk mendepani PRN yang tempohnya kita tahu tidak sampai enam bulan.

“Ini tugas yang maha mustahak yang menjadi sebahagian daripada tanggungjawab kami sebab dalam perjumpaan dengan akar umbi parti malam ini saya sebut tentang fokus itu,” ujarnya. – SM

(Visited 43 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button