Politik

Harap hubungan Arab Saudi, Malaysia tidak libatkan perang di Yaman

BEKAS Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Timbalannya Liew Chin Tong menggesa supaya pengendalian hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi berteraskan prinsip neutral atau berkecuali.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan susulan lawatan rasmi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu minggu ini, Mohamad dan Ching Tong tidak mahu Malaysia terlibat sekali lagi dalam perang dengan Yaman.

“Kepentingan rakyat Malaysia perlu diutamakan dalam pengendalian dasar luar negara kita. Nyawa anggota tentera kita juga tidak boleh digadaikan semata-mata kepentingan politik.

“Malaysia tidak sewajarnya terperangkap dalam mana-mana operasi ketenteraan di luar negara yang tidak diberi mandat jelas daripada PBB.

“Dalam usaha beliau melestarikan hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi, kami harap Malaysia tidak akan terlibat sekali lagi dalam perang di Yaman,” katanya.

Menurut mereka, prinsip neutral telah diabaikan oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein Onn, enam tahun yang lalu apabila beliau secara langsung telah melibatkan Malaysia dalam operasi ketenteraan ketika Perang Saudara Yaman.

“Pada April 2015, pihak Kerajaan telah melancarkan Ops Yaman 1. Operasi tersebut melibatkan dua buah pesawat C-130 Tentera Udara Malaysia Diraja yang diaturgerakkan ke Arab Saudi untuk membantu usaha memulangkan rakyat Malaysia di Yaman.

“Pada bulan Jun 2015 pula, misi kontinjen ini telah berubah kepada membantu tentera gabungan yang diketuai Arab Saudi dalam memerangi kumpulan Houthi.

“Fasa ini dikenali sebagai Ops Yaman 2, dan ketika itu, kru C-130 TUDM diarahkan untuk menerbangkan alat ganti, peluru, dan bahan letupan untuk angkatan Saudi dan negara-negara sepakatnya,” katanya.

Pakatan Harapan ketika menjadi kerajaan telah membawa pulang Tentera Malaysia di Arab Saudi kerana tidak mahu terbabit perang Arab Saudi dengan Yaman.

Malaysia menempatkan tentera di Arab Saudi sejak tahun 2015 bagi membawa pulang rakyat Malaysia dari Yaman yang sedang berhadapan konflik.

Badan Hak Asasi Manusia, Lawyers for Liberty sebelum itu mendesak Kementerian Pertahanan menghentikan semua penyertaan ketenteraan dalam konflik di Yaman dan menarik balik tentera Malaysia yang ditempatkan di Riyadh.

Kerajaan Pakatan Harapan juga telah menghentikan operasi Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) dan pejabat sementara di Jalan Ampang juga ditutup serta-merta, kata Menteri Pertahanan.

KSCIP ditubuhkan bersama Kementerian Pertahanan kedua-dua negara dan MWL yang lebih dikenali dengan nama Arabnya, Rabitah al-Alam al-Islami.-SM

 

 

 

(Visited 286 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button