BanjirNegeriRencah Hidup

Ibu bersama bayi berusia sebulan dan warga emas menghidap strok dipindahkan ke PPS

Air naik seawal pukul 1 pagi di Kampung Rhu Dua, Marang

DALAM hujan dan keadaan cuaca yang sejuk, seorang bayi perempuan yang baharu berusia sebulan terpaksa dibawa keluar dari rumahnya ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) seawal pukul 1 pagi akibat banjir yang berlaku secara mengejut.

Fateema Nur Arbaiyyah Jusoh, 29, sambil mendukung bayinya, Nur Syafia Fakhira Mohd. Shahrul, terpaksa mengharungi air setinggi satu meter dari rumahnya di Kampung Rhu Dua, Marang, Terengganu, sejauh kira-kira 50 meter sebelum menaiki kereta peronda polis, awal pagi semalam.

Katanya, suaminya, Mohd Shahrul Nizzam Ismail, 34, bersama dua lagi anak mereka Muhamad Shamir Feyrash, 6, dan Muhamad Sharhan Faqih, 3, turut mengharungi banjir bersamanya, kemudian dibawa menaiki trak polis menuju ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.

“Tidak sangka rumah kami dinaiki air kali ini kerana yang terakhir adalah ketika banjir buruk pada 2014. Nasib baik saya dan suami tergerak hati untuk mengemas barang apabila hujan turun sangat lebat petang kelmarin (Rabu).

“Pada sebelah malam pula, apabila air semakin naik hingga memasuki bahagian dapur, suami terus membuat keputusan supaya kami berpindah ke PPS,” katanya ketika ditemui BERNAMA di PPS SK Rusila.

Fateema Nur Arbaiyyah berkata, meskipun terpaksa menghadapi sedikit kesulitan menguruskan bayinya di PPS, namun dia bersyukur kerana berpindah lebih awal dan semua ahli keluarganya selamat.

Nur Syafia Fakhira merupakan mangsa termuda di PPS SK Rusila yang mempunyai 186 mangsa dari enam kampung dan dua taman perumahan di sekitar Marang.

Sementara itu, seorang warga emas yang juga orang kurang upaya (OKU) terpaksa didukung anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selepas pekarangan rumahnya di Kampung Rhu Renggeh, dinaiki air setinggi satu meter.

Zainab Pak Deraman, 65, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi Khamis itu, beliau didukung sejauh 50 meter dari rumahnya di Kampung Rhu Renggeh ke pacuan empat roda milik APM berikutan tidak dapat berjalan sejak empat tahun lalu kerana menghidap penyakit strok.

“Air naik sampai ke pekarangan rumah. Mujurlah rumah mak cik tinggi jadi air tidak masuk ke dalam rumah. Mereka (APM) dukung mak cik sehingga ke kereta. Sampai di sekolah (PPS SK Rusila) pula anak lelaki mak cik bawa guna kerusi roda.

“Pada asalnya mak cik tidak mahu pindah sebab tinggal di PPS dalam keadaan fizikal mak cik yang sebegini memang tidak selesa. Kalau boleh mak cik hendak balik sekarang juga kerana rindukan rumah,” katanya.

Zainab turut menangis kerana sedih dengan situasi dirinya itu sehingga terpaksa ditenangkan anggota APM dan wartawan Bernama. – SM

 

(Visited 235 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button